www.majalahsains.com

Wednesday, June 24, 2009

Mengapa Islam berhak ke atas Palestine

Oleh: AZRAN ABDUL RAHMAN


Utusan Malaysia 2000


BAITULMAQDIS adalah Jerusalem. Ertinya tempat suci atau kota suci. Hal ini sudah diyakini oleh orang-orang Arab sebelum Islam, apalagi masyarakat Islam sekarang. Tetapi ada nama lain bagi kota suci ini iaitu Aelia Capitolina atau disebut Aelia sahaja.

Masjid al-Aqsa terletak di Bukit Moria, juga disebut sebagai Bukit Zaitun, tetapi media Barat menyebutnya Bukit Kuil (Temple Mount). Di sinilah dahulu berdiri Haikal Sulaiman atau Solomon Temple. Jadi Solomon Temple itu, menurut pengkaji sejarah purba, tidak lain adalah Masjid al-Aqsa dalam bentuk aslinya yang didirikan oleh Nabi Sulaiman (King Solomon), putera Nabi Daud (King David).

Nabi Daud telah menguasai Baitulmaqdis pada tahun 1000 Sebelum Masihi - dan 1000 tahun sesudah Nabi Ibrahim - setelah mengalahkan Jalut (Goliath). Iaitu dalam usaha meneruskan perutusan Nabi Musa bagi membebaskan Bani Israel (anak cucu Israel atau Nabi Yaakub) daripada penindasan Firaun dan membawa mereka ke ''tanah yang dijanjikan''. Pasukan tentera Jalut yang lebih besar jumlahnya dapat dikalahkan oleh pasukan Nabi Daud yang sedikit malah Jalut sendiri telah dibunuh oleh Nabi Daud.

Di atas Bukit Moria itu terdapat sebuah batu besar dikenali sebagai Syakhrah. Setelah Jalut dikalahkan, di atas Syakhrah itu diletakkannya Tabut (sebuah kotak dari kayu akasia yang disadur emas murni, sebesar lebih kurang satu setengah meter padu).

Dalam Tabut itu dikatakan tersimpan kepingan batu bersurat, al-Kalimat al-Asyir atau The Ten Commandements (Sepuluh Kanun) yang diterima Nabi Musa daripada Tuhan semasa di Bukit Sinai.

Untuk sentiasa mengingati perintah-perintah Tuhan tersebut, Bani Israel menghadap ke Tabut apabila bersembahyang. Secara tidak langsung, Tabut itu menjadi kiblat bagi mereka.

Nabi Sulaiman telah membina sebuah tempat ibadat di atas Bukit Moria yang terdapat Syakhrah dan Tabut itu. Ia dikenali dengan nama Haikal Sulaiman atau Solomon Temple; itulah Masjid al-Aqsa yang bererti ''Masjid yang Jauh'' (dari Mekah).

Tabut di atas Bukit Moria itu telah tiada lagi di situ, dipercayai dibuang oleh tentera Nebukadnezar dari Babylon (kini di Iraq) yang menyerang Baitulmaqdis.

Namun kaum Yahudi tetap berkiblat ke Bukit Moria walaupun tanpa Tabut kerana Sepuluh Kanun itu telah pun termaktub dalam kitab Taurat.

Kaum Yahudi sejak Sebelum Masehi lagi memang telah mengalami diaspora. Mereka hidup terlonta-lonta tanpa tanah air dan mengembara di muka bumi ini malah hingga sampai ke Mesir yang ketika itu menjadi pusat tamadun dunia.

Setelah masa Nabi Sulaiman, Firaun dari Mesir yang bernama Sheshonk I telah memanjangkan menguasai Kota Tua tersebut. Kemudian pada tahun 850 Sebelum Masihi, orang Arab Palestin menguasainya pula, dan lebih setengah abad kemudian kaum Yahudi merampasnya semula.

Dan setelah melewati perebutan dengan bangsa Asyur atau Assyria (sekarang Syria), pada tahun 612 SM, Nebukadnezar dari Babylon datang menyerang dan menghancurkan Kota Tua itu termasuk tempat ibadat yang dibina oleh Nabi Sulaiman. Para penduduknya terutama kaum Yahudi telah dibawa ke Babylon secara paksa dan dijadikan hamba.

Inilah masa ''perhambaan''sebagai titik mula kaum Yahudi mengalami semangat mesianisme yang menumbuhkan keyakinan bahawa mereka adalah bangsa pilihan dan akan diselamatkan oleh Tuhan.

Tiba pula giliran Empayar Parsi pimpinan Cyrus II yang beragama Majusi, menguasai Baitulmaqdis setelah berjaya mengalahkan Babylon dan orang Yahudi dapat kembali semula ke sana. Tetapi satu abad kemudian, Iskandar Zulkarnain dari Macedonia datang menguasainya pula pada tahun 334 SM.

Pada tahun 63 SM, maharaja Rom, Pompei pula berjaya merampasnya. Waktu itulah munculnya Herod, seorang Yahudi keturunan Arab. Kerana taatnya kepada Rom, dia telah dilantik sebagai raja muda atau penguasa Baitulmaqdis (tahun 40 SM). Pada masa inilah bermulanya era Nabi Isa al-Masih. Dengan kedudukannya itu, Herod telah membina semula Haikal Sulaiman yang kemudian dikenali sebagai Kuil Kedua (The Second Temple).

Tetapi bangunan itu tegak tanpa makna mendalam dan malah telah dikutuk oleh Nabi Isa. Pada tahun 70 M, Maharaja Titus dari Rom menghancurkannya sekali lagi sehingga menjadi padang jarak padang terkukur.

Yang tinggal hanyalah sebuah tembok yang sekarang dikenali sebagai ''Tembok Ratap'' (Wailing Wall). Di tembok inilah orang-orang Yahudi beribadat dengan meratap dan mengenang nasib mereka.

Titus bukan saja menghancurkan Baitulmaqdis dan Kuil Kedua, dia malah bertindak menindas dan mengusir orang Yahudi dari kota itu, termasuk yang tinggal di Kanaan (Palestin Selatan). Saat itulah bermula masa orang Yahudi menjadi pelarian dan terpaksa bertebaran ke negara lain tanpa tanah air.

Apabila orang Yahudi mulai mengumpulkan kekuatan mereka pada tahun 132 - 135 M, Maharaja Hadrian menghantar bala tenteranya untuk memusnahkannya dan menjadikan orang Yahudi sebagai hamba.

Kerana mahu menghilangkan sama sekali pengaruh Yahudi di Baitulmaqdis, telah dibersihkan lalu dibina semula dan diberikan nama baru: Aelia Capitolina (Bererti kota Dewa Aelia, berhala Rom).

Di Bukit Moria telah dibina patung maharaja yang menghadap patung dewa pelindungnya, Jupiter Capitolinus. Manakala di Golgota, Hadrian mendirikan pula kuil untuk berhala Venus, iaitu sebagai penghalang terhadap agama Kristian yang nampaknya mulai tumbuh, yang pada mulanya cuma merupakan satu mazhab baru dalam agama Yahudi.

Apabila maharaja Rom, Constantine memeluk agama Kristian pada 324 M, agama itu berkembang ke seluruh Empayar Rom termasuk juga di Baitulmaqdis. Kaum Yahudi pula telah diusir dan dilarang tinggal di sana.

Gereja-gereja mulai didirikan dan apa saja yang dipercayai ada kaitan dengan Isa al-Masih pasti diagungkan dengan membina bangunan-bangunan. Yang terkenal sampai sekarang ialah gereja Makam Kudus (Holy Sepulchre).

Semasa Baitulmaqdis berada di bawah kuasa Kristian, bangunan untuk memuja Dewa Aelia sudah runtuh, tetapi kebencian terhadap kaum Yahudi tidak juga berakhir. Orang Kristian menunjukkan kebencian mereka dengan menjadikan Bukit Moria sebagai tempat pembuangan sampah.

Khalifah Umar telah datang sendiri ke Aelia memenuhi jemputan patriak Sophronius, penguasa kota tersebut untuk menerima penyerahan kuasa kota itu.

Dalam perjanjian penyerahan itu, terkandung jaminan keamanan, harta dan beragama bagi umat Kristian.

Setelah selesai membuat perjanjian tersebut, apabila Khalifah Umar mahu solat, Sophronius mempersilakannya bersolat di gereja Holy Sepulchre yang berada di situ. Khalifah Umar menolak, lalu beliau melakukan solat di luar gerbang timur gereja itu.

Setelah solat, Umar meminta patriak menunjukkan kepadanya Haikal Sulaiman atau Masjid al-Aqsa. Umar pun dibawa ke puncak Bukit Moria dan beliau merasa amat kecewa kerana tempat suci itu telah dijadikan tempat pembuangan sampah sehingga sampahnya menggunung tinggi menutupi Shakhrah yang ada di situ.

Khalifah Umar pun menyingsing lengan bajunya untuk membersihkan tempat itu dan diikuti semua orang yang berada di situ, termasuk patriak tersebut. Setelah dibersihkan, Khalifah Umar pun berkata, ''Demi Dia yang diriku ada di tangan-Nya, itulah tempat yang pernah digambarkan oleh Rasulullah (ketika Israk dan Mikraj) kepada kita. Marilah kita jadikan tempat ini sebuah masjid.''

Di tempat terdapatnya Shakhrah tersebut oleh Khalifah Abdul Malik Ibn Marwan, telah dibina sebuah kubah besar untuk melindunginya yang dinamakan Qubbat al-Shakhrah (Dome of the Rock) atau Kubah Karang.

Oleh kerana bangunan itu tidak dirancang sebagai tempat sembahyang, lalu oleh Khalifah al-Walid Ibn Abdul Malik dibina pula sebuah masjid yang berhampiran dengannya, iaitu di bahagian selatan. Masjid inilah oleh kebanyakan orang disebut Masjid al-Aqsa.

Pada hal yang seharusnya disebut Masjid al-Aqsa, menurut Ibn Taimiyah, ialah seluruh puncak Bukit Moria atau Bukit Zaitun tersebut yang memang dikenali sebagai al-Haram al-Syarif (Taman Suci yang Mulia).

Apabila Turki yang menguasai Palestin, termasuk Baitulmaqdis memihak kepada Jerman dan kalah dalam Perang Dunia Pertama, Kota Suci akhirnya diletakkan di bawah mandat Inggeris. Pihak Inggeris kemudiannya menjanjikan sebuah negara bagi umat Yahudi di Palestin melalui Perisytiharan Balfour (1917).

Ketika itulah imigran Yahudi dari Eropah mulai membanjiri Palestin.

Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 1947 telah menghasilkan resolusi untuk membahagi Palestin menjadi dua, iaitu 55 peratus wilayah Palestin menjadi milik Yahudi dan selebihnya untuk Arab. Dan setahun kemudian, pada 1948, diumumkan lahirnya negara Israel dengan Tel Aviv menjadi ibu kotanya.

PBB tetap menganggap Baitulmaqdis menjadi milik pihak Arab di Palestin. Wilayah Arab Palestin, termasuk Baitulmaqdis dianggap menjadi sebahagian daripada Jordan, sebuah negara yang ditubuhkan daripada wilayah asal yang bernama Transjordan, iaitu tanah yang berada di sekitar sungai Jordan.

Pada tahun 1967, dalam peperangan dengan pihak Arab, Israel menduduki wilayah Arab Palestin termasuk Baitulmaqdis.

Tidak pernah mana-mana umat Islam di seluruh dunia mengiktiraf kekuasaan Israel terhadap Baitulmaqdis.