Teori konspirasi Yahudi 'laris' di Asia
Oleh Ian Buruma
[Petikan dari Akhbar Berita Harian, Sabtu 7 Mac 2009]Jepun, China antara negara manfaat buah fikiran Zionis untuk kuasai kewangan global
BUKU The Currency War yang ditulis seorang rakyat China kini amat laris kerana ia menceritakan bagaimana kaum Yahudi merancang untuk memerintah dunia dengan cara memanipulasi sistem kewangan antarabangsa. Buku itu dipercayai sudah dibaca hampir semua pegawai tertinggi kerajaan republik itu.
Sekiranya berita ini benar, ia mungkin mencipta perasaan kurang senang dengan sistem kewangan antarabangsa, yang bergantung kepada China untuk membantu dunia pulih daripada krisis yang sedang berlaku sekarang.
Bagaimanapun, teori konspirasi seperti ini bukanlah sesuatu yang ganjil di Asia.
Selama ini, pembaca Jepun menunjuk minat yang tinggi terhadap buku sama seperti To Watch Jews is To See The World Clearly, The Next Ten Years: How To Get An Inside View of the Jewish Protocols dan I'd Like to Apologise To The Japanese - A Jewish Elder's Confession (yang ditulis penulis Jepun menggunakan nama Mordecai Mose).
Semua buku ini adalah antara pelbagai variasi daripada The Protocols of the Elders of Zion, yang ditiru oleh penulis Russia dan kali pertama dicetak pada 1903. Buku ini ditemui tentera Jepun selepas menewaskan tentera Czar pada 1905.
Penulis China mendapat banyak idea mengenai dunia Barat dari Jepun. Mungkin kerana itu teori konspirasi Yahudi dapat disebarkan begitu meluas. Apapun, negara Asia Tenggara juga tidak terkecuali.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, pernah menyatakan bahawa 'Yahudi memerintah dunia dengan menggunakan proksi. Mereka mendapatkan orang lain berjuang dan mati untuk mereka.'
Artikel terbaru sebuah majalah perniagaan popular di Filipina menjelaskan bagaimana Yahudi selama ini memang sentiasa menguasai negara di mana mereka menetap, termasuk Amerika Syarikat.
Dalam kes Mahathir, perpaduan Muslim yang sering diputar belit mungkin sedang digerakkan. Tetapi, tidak seperti kumpulan anti-Semitik di Eropah atau Russia, kepelbagaian bangsa Asia tidak mempunyai akar umbi keagamaan.
Tidak ada rakyat China atau Jepun yang menyalahkan Yahudi kerana membunuh 'orang alim' mereka atau percaya bahawa darah anak mereka akan disiram pada perayaan Passover. Hakikatnya, hanya beberapa kerat bangsa China, Jepun, Malaysia atau Filipina yang pernah berjumpa dengan bangsa Yahudi, kecuali jika mereka selalu merantau ke luar negara.
Jadi, apa sebenarnya yang menjadikan teori konspirasi ini menarik di Asia? Jawapannya, sedikit sebanyak mesti ada kaitan dengan politik. Teori konspirasi ini selalunya tersebar dalam komuniti kecil, di mana akses kepada berita dunia terhad dan kebebasan untuk mencari jawapan dikekang.
Jepun bukan lagi sebuah masyarakat tertutup, tetapi manusia yang memiliki sejarah demokrasi yang belum begitu lama, tidak dapat lari daripada kepercayaan bahawa mereka juga adalah mangsa kepada pengaruh yang tidak dapat dilihat ini.
Lebih tepat, disebabkan kaum Yahudi secara relatifnya tidak begitu dikenali, justeru mereka mewujudkan suasana misteri dan dalam beberapa hal mempunyai kaitan dengan Barat, sekali gus membuatkan mereka menjadi mangsa kepada sikap paranoid kumpulan anti-Barat.
Sikap paranoid seperti ini memang tersebar luas di Asia, di mana hampir semua negara di benua ini pernah menjadi tanah jajahan kuasa Barat selama beberapa ratus tahun.
Jepun tidak pernah dijajah secara rasmi, tetapi ia juga menerima tempias daripada pengaruh Barat, apabila kapal Amerika yang membawa senjata api memaksa negara itu membuka pintu kepada dunia luar sejak 1850-an.
Kaitan antara Amerika Syarikat dan Yahudi wujud sejak akhir abad ke-19, apabila ada kumpulan Eropah yang membenci negara baru kerana tidak memiliki masyarakat asal, sebaliknya hanya mereka yang tamakkan duit. Gambaran ini adalah sifat stereotaip kaum Yahudi yang kedekut, yang akhirnya memberi persepsi bahawa Yahudi menguruskan Amerika.
Satu daripada ironi mengenai sejarah penjajahan ini ialah yang mana negara yang pernah dijajah terus mengguna pakai beberapa undang-undang yang diwarisi daripada penjajah. Antaranya ialah perasaan anti-Semitik lahir sama seperti teori peninggalan warisan bangsa Eropah yang terus tersemai kukuh di Asia selepas ia tidak lagi relevan di Barat.
Perasaan anti-Semitik rakyat Jepun adalah antara yang paling menarik. Jepun mampu menewaskan Russia pada 1905, hanya selepas seorang ahli perbankan Yahudi di New York, Jacob Schiff, membantu Jepun dengan mengapungkan bon.
Buku Protocols of the Elders of Zion, seolah-olah mengesah apa yang disyaki Jepun selama ini - kaum Yahudi memang mampu untuk mempengaruhi kewangan global. Kerana itu, sebagai bangsa yang praktikal, Jepun membuat keputusan untuk menjadi kawan kepada bangsa yang bijak ini daripada menjadikannya lawan.
Hasilnya, ketika Perang Dunia Kedua, ramai rakyat Jerman meminta Jepun yang menjadi sekutu mereka untuk mengumpul kaum Yahudi ini. Majlis makan malam diadakan di Machuria, tanah jajahan Jepun, untuk meraikan persahabatan Jepun-Yahudi ini. Hubungan baik ini memberi kelegaan kepada kaum Yahudi di Shanghai ketika itu.
Bagaimanapun, cetusan idea yang pernah menyelamatkan bangsa Jepun ini, masih terus menghantui pemikiran kumpulan yang sepatutnya lebih mengetahui hari ini.
Penulis ialah profesor demokrasi, hak asasi manusia dan kewartawanan di Kolej Bard. Buku terkininya ialah sebuah novel, The China Lover. Rencana sumbangan Project Syndicate
No comments:
Post a Comment