Published: Selasa Mei 18, 2010 MYT 8:31:00 PM
BARU-BARU ini, banyaklah perbincangan yang berkaitan dengan isu Yahudi, Zionis dan Israel berlegar-legar di portal media dan juga akhbar tempatan.
Pelbagai isu, contohnya penglibatan sebuah syarikat bernama Apco Worldwide dengan kerajaan Malaysia, “pendedahan” Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengaitkan negara dengan dengan gerakan Yahudi antarabangsa dan tuduhan-tuduhan melulu berkaitan Israel dan gerakan Zionis merupakan antara isu “panas” yang dimainkan oleh pakatan pembangkang dan tentunya ia sedang menjadi perhatian rakyat ketika ini.
Umumnya, saya merasakan apabila bercakap soal Yahudi, Zionis, Israel dan keyahudian, terdapat banyak stereotyping dan misnoma yang dikaitkan dengan frasa-frasa ini. Melalui interaksi saya, saya dapati kebanyakan masyarakat menganggap frasa-frasa ini membawa maksud dan mewakili kumpulan masyarakat yang sama, yang tentu sekali anggapan ini amat besar khilafnya.
Perkataan Yahudi itu sendiri melambangkan suatu bangsa, yang jika dikaji susur galurnya di dalam kitab-kitab samawi menunjukkan bahawasanya bangsa ini lahir dari keturunan Nabi Ibrahim A.S melalui anaknya Nabi Yaakub A.S. Manakala agama Yahudi itu atau Judaism merupakan agama amalan bangsa itu sendiri secara eksklusif.
Bangsa Yahudi itu semestinya beragama Yahudi dan penurunan keturunan di kalangan bangsa Yahudi ini berlaku dari sebelah ibu, yang bererti sekiranya seseorang itu ibunya adalah Yahudi, maka dia secara automatik akan diiktiraf sebagai seorang yang berbangsa Yahudi oleh komunitinya. Masyarakat Yahudi secara amnya mengamalkan agama mereka secara introvert dan tidak cuba untuk mengembangkan fahaman mereka kepada bangsa-bangsa lain, dan jarang kita dengar akan individu dari subset bangsa lain “masuk” agama Yahudi.
Dari sudut Islam, penganut agama Yahudi ini diiktiraf sebagai ahli kitab dan sembelihannya halal dimakan oleh umat Islam. Saya pernah diberitahu sahabat- sahabat saya yang pernah tinggal di kawasan metropolis di Amerika Syarikat contohnya, mereka pernah dan ada yang selalu melanggani kedai daging Kosher milik masyarakat Yahudi atas sebab tidak wujudnya jualan daging-daging halal di sesetengah kawasan di negara itu.
Zionisme pula atau fahaman Zionis adalah satu gerakan dan fahaman ultra-nasionalis Yahudi yang menginginkan penubuhan sebuah negara bangsa sendiri atau promised land yang diasaskan oleh seorang wartawan Yahudi berkerakyatan Austria bernama Theodor Herzl. Dan hasilnya, tertubuhlah sebuah negara yang tidak diiktiraf oleh masyarakat Islam sedunia dengan nama Israel. Dan dasar Israel ini adalah mudah - negara ini menganggap semua orang Yahudi, tidak mengira dari mana asal negaranya merupakan penduduknya yang sah dan dibenarkan untuk berhijrah pulang ke Israel untuk menetap secara tetap sebagai rakyatnya.
Inilah punca utama pergeseran yang kita saksikan saban hari di Asia Barat apabila kerajaan Zionis Israel terus menerus merampas tanah hak rakyat Palestin untuk memperbesarkan komuniti Zionisnya secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Perbezaaan besar di antara Yahudi dan Zionis ialah; penganut fahaman itu tentunya orang yang beragama Yahudi dan berbangsa Yahudi, tetapi bukannya semua penganut dan bangsa Yahudi ini adalah berfahaman Zionis.
Sebagai contoh, pengikut kepada mazhab ortodox Yahudi yang dikenali dengan nama Naturei Karta misalnya merupakan sekelompok masyarakat Yahudi yang menentang secara habis-habisan ideologi Zionisme dan juga penubuhan Israel yang dianggap gerakan itu sebagai satu ‘dosa besar’ bagi bangsa Yahudi. Malah terdapat juga pertubuhan-pertubuhan anti Zionism lain di kalangan masyarakat Yahudi di peringkat antarabangsa, antaranya ialah seperti International Jewish Anti Zionism Network (IJAN) dan Satmar. Gerakan-gerakan ini, sama ada berbentuk sekular mahupun secara keagamaan, semuanya membenci dan menolak gerakan sekular Zionisme yang mereka anggap sebagai satu gerakan haram yang menggadaikan maruah bangsa Yahudi itu sendiri di mata dunia.
Jadi, sebelum mana-mana di antara kita ingin berdiskusi secara lebih lanjut tentang Yahudi, Israel, Zionisme dan keyahudian secara menyeluruh perlulah kita fahami akan terminology-terminologi ini dahulu, agar sekurang-kurangnya dapatlah kita elakkan mengecam dan mengutuk sesuatu bangsa secara membuta tuli.
Mungkin kemarahan kita sepatutnya ditujukan kepada bangsa Yahudi yang menganut fahaman Zionis sahaja, di atas kekejaman dan penyeksaan yang mereka masih hamburkan kepada masyarakat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, dan tentunya ingatan kita tetap kepada masyarakat Palestin yang masih tertindas setelah lebih 50 tahun berjuang. Mengenangkan ini, saya sungguh bersyukur dilahirkan di Malaysia!
DR HEAZAR ISMAIL berpengalaman berinteraksi dengan beberapa rakan berbangsa Yahudi yang membenci Israel ketika belajar dan bekerja di United Kingdom dahulu.
ada juga bangsa yahudi yang memeluk islam.. boleh cari di internet
ReplyDelete