Utusan Malaysia 16 Januari 2009
Zionis tidak dibentuk atas dasar agama. Zionisme adalah dasar imperialis yang membuat keuntungan melalui dasar kapitalis. Setengah abad peperangan di Timur Tengah adalah dasar untuk mengawal kekuatan dunia yakni minyak di Arab, yang dianggarkan berjumlah AS$15 trilion (dengan harga AS$25 setong pada tahun 2002).
Zionis didirikan atas dasar mengeksploitasi, membunuh untuk keuntungan. Negara yang haus peperangan kerana minyak. Zionis menyebabkan kesengsaraan manusia lain.
Tahun 1897, kumpulan intelektual Yahudi di Eropah bermesyuarat di Basle, Switzerland dipimpin oleh seorang peguam Austria, Theodore Herzi membincangkan agar Yahudi di Eropah mendapat tempat tinggal. Antara dicadangkan adalah di Argentina, Uganda (kedua-duanya ditolak). Akhirnya mereka mencadangkan tanah suci Palestin dan ia diterima sebulat suara di dalam mesyuarat tersebut.
Tanah inilah merupakan replika kolonialis Eropah. Dan pertukaran orang Yahudi dibuat secara besar-besaran masuk ke tanah Palestin. Projek ini mendapat bantuan besar daripada golongan Zionis di Great Britain, AS dan Eropah.
Dalam Deklarasi Balfour tahun 1947, AS mempengaruhi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meluluskan cadangan bahawa setengah daripada bumi Palestin akan dihuni oleh bangsa Yahudi. Maka lahirlah negara Yahudi Zionis Israel pada tahun 1948.
Setelah itu penaklukan terhadap kawasan orang Palestin dilakukan berperingkat-peringkat menerusi peperangan tahun 1948, 1956, 1967, 1978, 1982 dan 2002. Tahun 1948 pengambilan kawasan Galilee, kawasan Auja dan koridor Jerusalem di mana kawasan ini adalah milik Palestin menerusi Resolusi PBB 181.
Tahun 1956, Israel dengan kerjasama Great Britain dan Perancis menakluk Mesir, Semenanjung Gaza dan Sinai. Tahun 1967 Israel menakluk sekali lagi daerah Palestin di Semenanjung Gaza. Terus menjajah Sinai, Tebing Barat (West Bank) dan Bukit Golan.
Justeru arahan yang tegas daripada Presiden AS waktu itu Eisenhower telah memaksa Israel keluar dari Semenanjung Gaza dan Sinai.
Tahun 1978, Israel menakluk Selatan Lebanon dan seterusnya menakluk ibu negara Lebanon, Beirut pada 1982. Walaupun meninggalkan Lebanon tetapi Israel mengambil selatan Lebanon sebagai jajahannya.
Israel pernah melancarkan perang ke Syria, Lebanon, Jordan, Iraq, Mesir, Yemen dan Tunisia. Semua ini dilakukan atas bantuan AS dan Great Britain dari segi persenjataan yang canggih sokongan moral yang kuat.
Zionis Yahudi memerintah dengan merampas tanah-tanah orang Palestin. Lebih daripada 400 kampung orang Palestin dibakar dan penduduk dibunuh. Zionis dapat mempengaruhi Senat AS dan banyak negara di dunia untuk menyebelahinya.
Sama dengan kolonial dulu yang diberi nama New World yang dilakukan AS dan Great Britain, Zionis Yahudi turut mengembangkan daerahnya ke kawasan Palestin dan negara Arab lain. Pengambilan secara paksa tanah-tanah Palestin adalah sama seperti bangsa AS merampas kawasan-kawasan penduduk Dayak di AS. Semua Resolusi PBB dilanggar kerana atas persetujuan Amerika Syarikat.
Zionis Yahudi membalas dendam terhadap penduduk Palestin kerana mengingatkan perbuatan Nazi Jerman ke atas mereka sewaktu Hitler memerintah Jerman suatu waktu itu. Dasar barbarian dan terorisme dilakukan untuk membunuh orang Palestin.
Penyembelihan orang Palestin yang terakhir adalah di Jeni pada April 2002 dan saat ini tahun 2009 pelakuan yang sama dilakukan di Gaza.
Propaganda Zionis adalah meminta bantuan AS dengan mengatakan mereka memanjangkan hak kolonial di rantau Timur Tengah.
Dalam negara Israel terdapat satu juta warga Palestin, yang menjadi warga negara Israel. Pemerintah Israel menggunakan orang Palestin untuk kepentingan mereka. Semua negara di dunia tahu Zionis Yahudi adalah rasist.
PBB sendiri membuat resolusi 3379 pada tahun 1975 yang menganggap Zionis adalah rasist. Cuma pada waktu krisis di Teluk, Presiden Bush memaksa PBB menarik balik resolusi tersebut. Rasist adalah kerana pendatang ke Israel cuma orang Yahudi; Zionis menindas orang Palestin dengan memberi gaji cuma separuh dibandingkan dengan orang Yahudi, dan tidak ada bantuan kewangan kepada pekerja-pekerja Palestin.
Eksploitasi dibuat ke atas tanah-tanah Palestin dan orang Palestin dihalau dan dibunuh. Saat ini Israel menguasai hampir 80 peratus tanah kepunyaan orang Palestin. Pada hal resolusi PBB pada tahun 1947. Israel mendapat 58 peratus tanah jajahannya.
Sekarang Palestin cuma menduduki dan memiliki 22 peratus. Itu pun dikuasai oleh tentera Zionis.
Sebuah parti di Israel, yakni Parti Buruh (Labor Party) mempunyai dasar lebih liberal terhadap Palestin tetapi tidak mendapat sokongan dari bangsa Israel.
Pelarian
Perjumpaan di Camp David antara Ehud Barak dan Yasser Arafat pada September 2000, Barak meminta penduduknya tinggal di Tebing Barat (West Bank) mengawal bandar Palestin dengan jalan-jalan yang dibina oleh Israel dan Palestin tidak dibenar mempunyai sempadan dengan Jordon dan Mesir; tidak membenarkan Palestin mengawal Timur Jerusalem dan tidak bertanggungjawab pada 'pelarian'. Ringkasnya semua kawasan orang Palestin ditawan oleh Zionis Yahudi.
Zionis Israel mempunyai strategi agar semua tanah di Palestin diperintah oleh mereka. Perbincangan mengenai hak milik tanah mesti berpihak pada Israel. Keengganan akan berakhir dengan kesengsaraan.
Awal abad ke-20 Zionis adalah rakan rapat Great Britain yang membantu terciptanya negara Israel. Apabila AS menjadi super power, pada pertengahan abad ke-20, Zionis mengubah rakannya kepada AS dan turut mempengaruhi negara itu.
Bukti nyata adalah bantuan kewangan untuk membeli senjata setiap tahun adalah terlalu tinggi kepada Israel (walau pun hutang AS sebanyak AS$6 trilion). Bantuan AS kepada Israel memaksa penduduk AS membayar AS$135 bilion, yakni AS$23,240 bagi tiap-tiap warganya setiap tahun.
Pelobi Kongres AS adalah terdiri daripada orang Yahudi yang berpangkat tinggi di Senat pemerintah AS. Ini yang membuat Perdana Menteri Israel Ariel Sharon dahulu tidak takut dengan Presiden Bush. Walau pun Bush meminta Israel keluar dari Tebing Barat pada tahun 2002 tidak diendahkan oleh Sharon.
Sejak Perang Teluk dan Iraq ditakluki, Zionis membawa AS untuk terus berperang dengan negara Arab lain dan konflik ini berpanjangan hingga saat ini. Kejayaan Zionis dapat membawa Bush untuk berperang dengan Iraq sewaktu krisis Iraq-Kuwait kerana Zionis Yahudi amat takut dengan kebangkitan Saddam Hussein pada waktu itu.
Penaklukan AS ke atas Iraq memberi banyak keuntungan kepada Zionis Israel. Inilah yang dicita-citakan oleh Zionis. Israel cuma berhasrat untuk menumpang kekayaan minyak di Iraq. Ini termasuk cita-cita untuk menakluki semua negara di Timur Tengah, termasuk tanah-tanah subur di Lembah Nil dan Eupharates dan kekayaan minyak Negara Timur Tengah yang lain.
Inilah senario yang membuat perang berpanjangan, pertumpahan darah di Palestin. Inilah harga kemanusiaan yang diimpikan oleh Zionis Israel. Gandingan AS dan Zionis Israel termasuk Great Britain menyebabkan semua negara Arab dalam ketakutan. Tidak terdapat sebuah negara Islam di dunia hari ini mempunyai senjata canggih untuk menentang.
Zaman penjajahan kolonial berulang kembali. Yakni imperialis Zionis, siapa yang berani mencuba melawan, padahnya adalah apa yang berlaku pada Saddam Hussein di Iraq.
Hanya doa agar suatu waktu akan lahir seorang pemimpin Islam yang gagah berani seperti Sallahuddin Alayubi yang sanggup turun dari singgahsana dan berlinang air mata mengajak seluruh umat Islam agar bangkit membela Islam. Inilah yang mungkin ditunggu oleh segenap umat Islam di dunia hari ini.
- PROF. DR. BUKHORY ISMAIL,
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM, Shah Alam.
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM, Shah Alam.
No comments:
Post a Comment