Maklumat dari akhbar, buku, bahan bacaan, internet dan pelbagai sumber berita mengenai Yahudi-Zionis-Israel
Sunday, March 25, 2012
Jentera Propaganda Zionis-Israel
Oleh: Muhammad Alias (Bekas Konsulat Malaysia)
Dari : Utusan Malaysia 24/1/2009
Dalam sejarah konflik Palestin sejak lebih 60 tahun lalu negara-negara Arab sering melepas peluang untuk merealisasikan pembentukan sebuah negara untuk rakyat Palestin. Kesilapan demi kesilapan dilakukan bermula dengan perang Arab-Israel pertama tahun 1948.
Pengajaran daripada beberapa peperangan Arab-Israel itu ialah jumlah ramainya penduduk sahaja tidak memadai. Apa yang penting ialah strategi, persediaan, latihan, persenjataan, moral dan jentera propaganda. Sayangnya hingga ke hari ini jentera propaganda merupakan kelemahan negara-negara Arab yang paling ketara.
Perkara ini terjadi di kala negara-negara Arab menguasai pengeluaran minyak mentah dunia. Malahan pelaburan Arab melimpah ruah ke negara-negara Barat khususnya sebelum tragedi 11 September 2001. Beberapa buah negara Eropah boleh dikatakan hidup kerana duit Arab.
Meskipun begitu mereka tidak berjaya mempengaruhi dan mendapatkan simpati negara-negara Barat dalam konflik Palestin. Meskipun lebih 1,300 orang menjadi korban dalam serangan Israel ke atas Genting Gaza baru-baru ini.
Namun keadaan amat berbeza dengan Israel. Negara-negara Eropah dan AS amat menyayangi Israel. Mereka sanggup menyokong Israel meskipun rejim Zionis itu sering kali berlaku zalim. Puncanya ialah jentera propagandanya yang efisien.
Kempen-kempen propaganda Israel berkembang ekoran daripada kewujudan fahaman Zionis lebih seratus tahun lalu. Perisytiharan Balfour tahun 1917 dan penubuhan negara Israel merupakan kemuncak kepada kejayaan Zionis.
Melalui propaganda yang berterusan, Zionis berjaya menguasai pengembang-pengembang agama Kristian berhaluan kanan, ahli-ahli politik, media massa dan paling penting industri perfileman Hollywood.
Sejak kewujudan Israel hampir-hampir seratus buah filem Hollywood yang bertemakan bangsa Yahudi khususnya mengenai kekejaman Nazi di samping mempertahan dan menghalalkan pembentukan negara Israel tahun 1948.
Hari ini kritikan terhadap Israel dicap sebagai 'anti-Semites.' Di beberapa negara Eropah perbuatan mempersoalkan kewujudan holocaust boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Pengaruh Israel dalam dasar luar AS jelas dinyatakan oleh John Mearsheimer dan Stephen Walt dalam buku bertajuk The Israel Lobby and U.S. Foreign Policy (Lobi Israel dan Dasar Luar Amerika) terbitan tahun 2006.
Nadi propaganda zionis berpusat di Simon Wiesenthal Center atau SWC di Los Angeles. SWC menjalankan pelbagai aktiviti bertujuan mempertahankan keselamatan bangsa Yahudi di seluruh dunia, khususnya Israel dan menentang anti-semitisme.
SWC juga terdapat di New York, Miami, Paris, Toronto, Buenos Aires and Jerusalem. SWC mendapat taraf sebagai badan bukan kerajaan (NGO) di pertubuhan-pertubuhan antarabangsa termasuk PBB, UNESCO dan Majlis Eropah (Council of Europe).
Muzium Toleransi (Museum of Tolerance) juga memainkan peranan yang sama penting dengan SWC. Objektif utama ialah mendidik dan menyebarkan tragedi yang menimpa bangsa Yahudi di Eropah dalam Perang Dunia Kedua.
Muzium ini menyediakan bacam-macam program untuk pelbagai lapisan masyarakat khususnya para pelajar dari sekolah rendah hingga ke universiti, ahli-ahli akademik, guru-guru, penguatkuasa undang-undang dan pekerja-pekerja sosial.
Sebaliknya sejak 60 tahun lalu hampir-hampir tidak ada filem-filem tentang holocaust rakyat Palestin. Sepanjang penulis ketahui tidak ada satu pun pusat dan muzium tentang tragedi rakyat Palestin seperti mana Simon Wiesenthal Center dan Museum of Tolerance.
Kenapa agaknya perkara seumpama ini tidak terlintas di fikiran pemimpin-pemimpin Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Pusat ini sepatutnya dibina di AS, Eropah, Timur Tengah dan beberapa buah negara di Afrika dan Asia.
Mesir mempunyai industri perfileman yang bermutu tinggi dan dirasa mampu mengeluarkan filem-filem yang baik dengan pelaburan dari negara-negara Arab/OIC. Kesan filem-filem ini dikira dapat mempengaruhi pemikiran dunia tentang masalah yang dihadapi oleh rakyat Palestin.
Bagaimana pula dengan penubuhan sebuah badan agensi berita dan stesen televisyen OIC. Isu propaganda ini patut dipandang serius oleh OIC. Adalah lebih baik OIC membincangkan isu-isu yang mudah dipraktikkan daripada isu-isu besar dan penuh dengan retorik sedangkan sukar sekali dilaksanakan.
Sepatutnya jentera propaganda Liga Arab dan OIC memanipulasikan pembunuhan kejam terhadap penduduk Gaza baru-baru ini. Bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya lebih 1,300 orang yang terkorban itu merupakan rakyat Israel.
Sebaliknya pemimpin-pemimpin Arab terus menerus bercakaran sesama sendiri. Sidang Kemuncak Ekonomi Arab di Kuwait menambah tebal lagi permusuhan sesama mereka sedangkan Gaza telah hampir musnah, termasuk lebih 20 buah masjid ranap dibedil Israel.
Di zaman Perang Dingin, Republik Rakyat China (PRC), India, Soviet Union, sebahagian besar negara-negara blok komunis dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Kini hampir-hampir semua menjadi rakan Israel. Nampaknya nasib rakyat Palestin semakin gelap.
Labels:
Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment