www.majalahsains.com

Friday, March 30, 2012

Mengingati kehilangan tanah rakyat Palestin



Oleh SITI AINIZA KAMSARI dan AZHARI ZAINOODIN

Sumber Utusan Malaysia



"LANGSUNG tidak masuk akal, tetapi itulah realitinya pada hari ini apabila umat Islam yang setiap kali hendak beribadat dan solat lima waktu di Masjid Al-Aqsa, rejim Israel akan mengenakan cukai sembahyang AS$7 (kira-kira RM21) sekepala.

"Jika tidak, mereka dengan gembira akan menghalau umat Islam daripada memasuki masjid tersebut," kata Dr. Mohd. Tahir Abdul Rahman.

Beliau merupakan aktivis kemanusiaan Palestin terkenal yang kini merupakan Pengerusi Sekretariat Malaysia Global March to Jerusalem (MyGMJ) iaitu satu acara di peringkat dunia yang akan berlangsung pada hari ini di Stadium Melawati Shah Alam, Selangor.

Dr. Mohd. Tahir berkata, rejim Israel yang begitu zalim dan ganas terhadap penduduk Palestin akan melakukan apa sahaja bagi memastikan Masjid Al-Aqsa akhirnya akan terlepas sepenuhnya ke tangan mereka.

Ini bagi menjayakan cita-cita mereka mendirikan Kuil Haikal (Solomon Temple) yang kononnya terletak di tapak Masjid Al-Aqsa tersebut.

"Apabila sekatan demi sekatan mereka kenakan, akhirnya Masjid Al-Aqsa tidak lagi dikunjungi oleh umat Islam kerana tentunya mereka tidak mampu untuk membayar cukai yang tidak masuk akal itu.
"Akhirnya apabila tiada lagi umat Islam ke masjid itu, ia akan dijadikan alasan oleh rejim Israel untuk mengambil alih dan seterusnya merobohkan masjid tersebut untuk dibina kuil di atas tapaknya.
"Mereka akan berkata 'kami tidak pernah menyekat umat Islam untuk ke masjid ini, tetapi lihat sekarang, umat Islam sendiri yang sudah tidak mahu ke masjid itu. Jadi ini awak katakan bahawa Masjid Al-Aqsa adalah milik Islam dari aspek sejarah, budaya dan agama? Ternyata semua itu palsu," kata Dr. Mohd. Tahir.

Justeru MyGMJ bukan untuk mengalih pandangan umat Islam terhadap penderitaan umat Islam di Gaza, satu-satunya wilayah di Palestin yang masih dikuasai oleh rakyat Palestin kepada wilayah Baitul Maqdis yang telah ditakluk Israel pada tahun 1967.

"Isunya masih sama. Kita mahu memberi peringatan keras kepada Israel bahawa, sama ada Baitulmaqdis mahupun lain-lain wilayah yang mereka jajah termasuk Tebing Barat dan Semenanjung Gaza sebenarnya milik rakyat Palestin. Mereka tidak ada hak barang seinci pun merampasnya daripada penduduk asal," katanya.

GMJ atau Perarakan Menuju Baitul Maqdis merupakan program yang menggabung inisiatif global membela dan membebaskan Baitulmaqdis dan bumi Palestin daripada cengkaman Israel yang telah menceroboh tanah suci dan pusat agama terbesar dunia iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.

"Selama 64 tahun terbentuknya negara haram Israel dan 45 tahun Baitulmaqdis dijajah oleh rejim angkuh itu, pelbagai bentuk tindakan kurang ajar dan biadap dilakukan ke atas tempat-tempat suci dan rumah-rumah ibadat terutamanya milik Islam dan Kristian," katanya.

Perlu disedari, ketika berlakunya Perang 1948 itu, Israel mengusir keluar lebih daripada 800,000 penduduk Palestin dengan 100,000 daripada mereka adalah beragama Kristian.

Rejim itu turut memusnahkan 492 perkampungan asal Palestin, 480 masjid dengan 14 buah masjid ditukar menjadi kilang, kelab-kelab hiburan dan kandang ternakan haiwan.
Manakala 410 tanah perkuburan Islam lama dan baru dibongkar dan diratakan yang kemudian menyaksikan mereka mendirikan pelbagai premis di atas tapak kubur tersebut.
Hotel Hilton di ibu negara Israel, Tel Aviv misalnya, didirikan di atas tanah perkuburan Islam Abed An Nabi.

"Nasib yang menimpa Masjid Al-Aqsa adalah lebih menyedihkan. Sepanjang tahun lalu sahaja Yayasan Al Aqsa untuk Wakaf dan Warisan melaporkan lebih daripada 100 serangan termasuk membakar dan menghina dilakukan ke atas Masjid Al-Aqsa oleh pihak zionis dan sekutu mereka," ujarnya.

Tegas Dr. Mohd. Tahir, kesemua tindakan biadap Israel itu merupakan untuk menyahudikan seluruh Baitulmaqdis dengan memadamkan ciri-ciri asal kota suci yang merupakan pusat agama, budaya dan kesenian tiga agama sejak dahulu lagi.

Usaha tersebut bertambah rancak dengan membawa masuk seramai mungkin pendatang-pendatang haram Yahudi dari seluruh dunia untuk ditempatkan di sekitar Baitulmaqdis.
"Penempatan itu kini telah meliputi kawasan seluas 112.13 kilometer persegi atau 47.7 peratus dari kawasan Kota Al Quds yang dikelilingi oleh Tembok Pemisah yang kini telah menempatkan 236,480 pendatang Yahudi.

"Ia melebihi penduduk asal Palestin yang kini tinggal seramai 151,423 yang terkepung di dalam kawasan tembok tersebut," katanya.

Dengan terpaksa hidup dalam pelbagai tekanan dan sekatan, sekali gus menafikan keseluruhan hak-hak rakyat Palestin sebagai penduduk asal.

Di sebalik tembok Israel



Oleh AZHARI ZAINOODDIN

Sumber Utusan Malaysia

TIADA yang lebih di tangisi oleh umat Islam selain Masjid Al-Aqsa di Kota Suci Al Quds, Baitulmaqdis berada dalam cengkaman rejim zionis Israel hingga ke hari ini.

Cengkaman tersebut menyebabkan umat Islam dinafikan untuk keluar masuk melakukan solat di dalamnya. Lebih memedihkan, Israel merancang untuk melenyapkan masjid itu dari muka bumi ini.
Berkongsi pengalaman, seorang rakyat Malaysia yang pernah berada hampir sebulan di Baitulmaqdis, sekali gus berpeluang beribadat di Masjid Al-Aqsa perlu menjadi satu inspirasi kepada seluruh umat Islam untuk ke sana.

Setiausaha Eksekutif Komuniti Viva Palestin Malaysia (VPM), Azra Banu, 49, berada di Baitulmaqdis sekitar Jun 2010 yang disifatkan sebagai paling terkesan dalam hidupnya.
“Pengalaman berada di sana itulah yang mengajar saya untuk menumpahkan seluruh jiwa raga demi Palestin,” ujarnya.

Azra melihat segala-galanya. Betapa rejim Israel yang mendukung fahaman zionis sebenarnya adalah kaum terpilih untuk melakukan pelbagai kerosakan di muka bumi ini.

“Bayangkan apa dosa sebuah tanah perkuburan yang berusia ratusan tahun penduduk Palestin dirobohkan dan dilenyapkan. Lalu tergamak didirikan segala macam premis bangunan.

“Sedangkan, mereka boleh dirikan di atas tanah lain tanpa perlu membongkar kubur-kubur lama tersebut. Alasannya, kubur-kubur tersebut tidak ada permit dan tiada siapa boleh mempersoalkan kewajaran tindakan rakus mereka itu,” katanya.

Azra menyaksikan sendiri tanah perkuburan Mamilla dipercayai wakaf perkuburan milik orang Islam Palestin yang terletak di tengah-tengah bandar Baitulmaqdis telah bertukar menjadi hotel mewah.
Reka bentuk Hotel Mamilla disifatkan sebagai yang terhebat bertaraf dunia .

Begitu juga tindakan rejim zionis itu merampas rumah-rumah dan tanah milik penduduk Palestin. Ia bagi mendirikan kawasan-kawasan penempatan kepada pendatang haram Israel yang dibawa masuk dari segenap dunia.

Selain itu, penduduk Palestin juga dikenakan pelbagai sekatan hingga menghalang kebebasan mereka. Mereka dilarang bergerak bebas di bumi sendiri.

Hak mereka sebagai penduduk pribumi dinafikan tanpa ada sebarang kompromi, jauh sekali belas ihsan. Sekali gus menjadikan Baitulmaqdis, bandar yang penuh dengan tekanan.
“Rakyat Palestin tidak seperti kita (orang luar) yang bebas bergerak ke mana sahaja. Mereka perlu melalui check point yang terlalu banyak.

“Ada kawasan-kawasan tertentu yang tidak dibenarkan untuk mereka masuki ataupun melaluinya. Jadi rakyat Palestin terpaksa berpatah balik dan melalui jalan lain.

“Bukan itu sahaja, bagi mereka yang bekerja di Baitulmaqdis, permit kerja yang dikeluarkan sangat susah sehingga setiap maklumat perlu diperincikan termasuklah tempoh masa bekerja.

“Jika tertera masa bekerja bermula pukul 8 pagi sehingga 5 petang, mereka akan dihujani dengan pelbagai soalan oleh pegawai di check point sekiranya tiba melepasi waktu itu,” ceritanya lagi.
Menyentuh mengenai lawatannya ke Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam, Azra berkata terlalu sukar untuk membolosi sekatan bagi membolehkan umat Islam memasuki masjid tersebut.

Jelasnya, boleh dikatakan hampir setiap 10 meter perlu melalui pemeriksaan askar Israel dan lelaki yang berusia 10 sehingga 40 tahun, langsung tidak dibenarkan masuk ke masjid itu.

“Mereka langsung tidak membenarkan golongan belia untuk memasuki Masjid Al-Aqsa sehinggakan ibu yang memimpin anak lelaki yang berusia belasan tahun, hanya si ibu dibenarkan masuk,” jelasnya
Tambah Azra, senario kawalan tentera Yahudi itu akan lebih ketat pada hari Jumaat.

Jelas wanita kelahiran Singapura itu lagi, pembinaan tembok-tembok pemisah yang didirikan Israel juga jelas menunjukkan berlakunya rampasan tanah rakyat Palestin.

“Mereka bina tembok itu sehingga masuk ke dalam kawasan milik rakyat Palestin. Selain memisahkan penempatan rakyat Palestin ia juga memaksa mereka berpusing jauh untuk ke sekolah dan hospital,” jelasnya.

Solat di Masjid Al-Aqsa

Bagaimanapun jelas Azra, perjalanannya sendiri sepanjang berada di sana agak mudah kerana pihak Israel tidak menyekat kebebasan orang luar untuk bergerak di kawasan berkenaan.

“Sepanjang berada di sana, melalui kawasan pemeriksaan itu adalah perkara wajib, namun tidaklah dilayan seperti rakyat Palestin.
“Masih juga buruk dan teruk tetapi akhirnya mereka akan lepaskan kita bagi menjaga imej Israel di mata antarabangsa.
“Kami juga bernasib baik kerana dapat menyewa kereta yang menggunakan nombor pendaftaran Israel. Jadi ia tidaklah terbatas seperti kenderaan yang didaftarkan untuk rakyat Palestin,” ujarnya.
Namun Azra masih dapat merasakan ketenangan yang tiada taranya sebaik memasuki kawasan Masjidil Al-Aqsa.
“Mereka tidak percaya saya hendak masuk ke Masjid Al-Aqsa untuk tujuan melakukan ibadat dan solat sehinggalah mereka memaksa saya membaca lengkap surah al-Fatihah.
“Apabila mereka berpuas hati, barulah saya dibenarkan masuk dengan layanan yang cukup buruk,” katanya.

Detik masa bagaikan terhenti apabila berada di dalam Masjid Al-Aqsa bagi memberikan peluang untuk kita menginsafi diri dan merasa lebih dekat dengan Maha Pencipta.

“Segala-galanya hening di sini dan tidak semena-mena hati ini mudah terusik dan sangat merindukan Allah,” kata Azra.

Maka umat Islam sangat digalakkan ke Masjid Al-Aqsa. Ini kerana menurut Azra dari perbualannya dengan pengusaha agensi pelancongan di Baitulmaqdis, hampir setiap tahun seramai dua juta pelancong datang mengunjungi Baitulmaqdis.

“Sayangnya dari jumlah tersebut hanya 500,000 umat Islam. Selebihnya, adalah orang luar dari seluruh pelosok dunia.

“Kita masih boleh mengunjungi Baitulmaqdis jika kita mahu Allah akan sentiasa membantu usaha kita itu, lebih-lebih lagi jika niat kita adalah satu, iaitu hendak bersolat di Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Hakikatnya, banyak lagi pengalaman yang ditempuh oleh Azra sepanjang berada di Baitulmaqdis, terutama apabila berpeluang bertemu dengan pendatang Israel dari negara-negara Eropah yang lain.
Katanya, biarpun mereka adalah pendatang di Palestin tetapi diberi segala macam kemudahan oleh pihak Israel termasuk ditanggung sepenuhnya jika hendak pulang bercuti ke negara asal masing-masing.

Sunday, March 25, 2012

Apabila Zionis jadi Nazi di Gaza



Oleh: Zin Mahmud
Utusan Malaysia : 11/1/2009


Akhbar Utusan Malaysia hari Jumaat, 9 Januari menyiarkan tajuk besar Hizbullah bantu Hamas, serangan mungkin permulaan konflik lebih luas di Asia Barat.

Berita yang sama juga didengar melalui radio dan televisyen. Tetapi tajuk-tajuk mereka tidaklah menyebut Hizbullah membantu Hamas. Di satu pihak perkara itu tidak mustahil. Mungkin Hizbullah benar-benar melancarkan roket bagi mengalih tumpuan tentera Israel dan mengurangkan tekanan terhadap Hamas di Gaza.

Pada sudut lain pula, berasa naik semangat kerana penentang-penentang Israel turut membalas dengan apa senjata yang ada. Tentunya Hizbullah, walaupun ia bukan pihak Palestin, berasa setiakawan untuk membantu Hamas. Lebih-lebih lagi gerakan Hizbullah dan Hamas dilihat sebagai dua kumpulan militan yang masih mampu untuk menentang Israel. Kedua-duanya pula mendapat sokongan daripada Iran dan Syria, dua negara yang masih aktif menentang Israel dengan menggunakan ancaman senjata.
Tetapi pada hari yang sama penulis menerima khidmat pesanan ringkas (sms) menyatakan bahawa laporan itu adalah untuk memenuhi kepentingan Israel dan tujuannya adalah memberitahu dunia bahawa Israel sedang diancam oleh militan Islam terdiri daripada Hizbullah dan Hamas yang berupaya mempunyai roket untuk mencederakan rakyat Israel.

Oleh itu, dunia khususnya Amerika Syarikat dan Eropah Barat yang merupakan sekutu Israel harus terus memberi sokongan kepada rejim Tel Aviv itu untuk membunuh rakyat Palestin di Gaza. Bagi Israel, sokongan Amerika dan Eropah amat penting. Kalau lain-lain bahagian dunia, khususnya umat Islam marah padanya sekalipun, ia tidak peduli. Apa yang penting bagi mereka ialah Amerika dan Eropah mesti menyokongnya. Maka apa yang ia boleh lakukan ialah untuk sentiasa meyakinkan orang ramai di Amerika dan Eropah bahawa tujuannya membunuh rakyat Palestin di Gaza adalah semata-mata bagi menghapuskan pengganas iaitu Hamas.

Mereka juga mahu menekankan bahawa dua kumpulan yang dianggap pengganas ini, iaitu Hamas dan Hizbullah disokong oleh Iran dan Syria bukan saja mengancam Israel tetapi keseluruhan tamadun dan dunia barat, iaitu Amerika dan Eropah. Jadi, Israel mahu menggambarkan kepada mereka bahawa ia melakukan pembunuhan rakyat Palestin di Gaza itu adalah semata-mata berjuang bagi pihak Amerika dan Eropah untuk menyelamatkan tamadun Barat.

Justeru, oleh kerana Israel menggambarkan diri mereka sebagai pembela tamadun Barat daripada dimusnahkan oleh golongan yang dikatakan sebagai penegak tamadun Islam, maka Amerika dan Eropah mesti terus membantu Israel dengan bekalan dana dan senjata kerana apa yang dilakukan oleh negara Zionis itu adalah untuk menjadi benteng kepada Barat.

Itulah yang cuba digambarkan oleh Israel kepada dunia Barat. Sebab itu, Israel melalui pengulas-pengulasnya dalam televisyen satelit termasuk Al-Jazeera sentiasa menekankan mengenai matlamat perjuangan Hamas yang mereka turut kaitkan dengan Hizbullah dan Iran, iaitu perjuangan untuk menegakkan negara Islam. Maka Hamas digambarkan sebagai kuasa jahat yang mahu memusnahkan Israel dan menegakkan negara Islam di situ bersekali dengan amalan hukum Syariah, yang kemudian berusaha meluaskan wilayah takluk hingga ke Eropah dan Amerika.

Hamas dipaparkan sebagai suatu gerakan yang akhirnya akan memusnahkan dunia demokrasi dan kapitalisme untuk digantikan dengan fasisme Islam, atau istilah mereka Islamofasisme, sebagai pewaris kepada Nazisme Adolf Hitler.

Gambaran israel itu sentiasa diulang-ulang untuk dijadikan alasan bagi membolehkan mereka membunuh orang Palestin termasuk kanak-kanak. Dalam konflik di Gaza ini pula, kanak-kanak adalah dikatakan majoriti yang menjadi mangsa, baik terbunuh atau cedera. Antara alasan yang penyokong-penyokong Israel beri bagi membolehkan pembunuhan kanak-kanak Palestin ialah bahawa mereka itu bakal menjadi pejuang Hamas. Sebab itu dapat dipercayai bahawa askar Israel tidak sedikit pun berasa bersalah apabila membunuh ibu-ibu Palestin yang hamil. Ini kerana bagi mereka anak yang dikandung itu bakal menjadi ancaman kepada Israel.

Hamas

Sedangkan hakikatnya tidak sedemikian. Hamas walaupun merupakan organisasi berasaskan Islam hanya mahu sebuah negara Palestin yang merdeka di mana penduduknya bebas mengamalkan agama dan budaya mereka iaitu Islam. Hasrat untuk memusnahkan Israel adalah dalam konteks bahawa negara Zionis itu telah menghancurkan negara Palestin dan penghalang kebebasan rakyat Palestin itu sendiri. Begitu juga dengan Hizbullah. Mereka hanya mahu hidup merdeka sebagai rakyat Lebanon yang bebas mengamalkan agama dan budaya sendiri, iaitu Islam mazhab Syiah. Serangan mereka ke atas Israel adalah untuk menghalau negara Zionis itu daripada menjajah mereka. Sebagai seorang Islam dan berperikemanusiaan, sudah tentu mereka berasa setiakawan dengan rakyat Palestin.

Pastinya pihak israel faham mengenai perkara ini. Tetapi mereka hanya mahu menjadikan asas perjuangan Hamas itu sebagai alasan bagi membolehkan mereka terus menundukkan Palestin secara kejam. Tidak menghairankan bahawa di peringkat awal, Israel dan Amerika yang membantu Hamas untuk menjadi kuat supaya dapat melemahkan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang berjuang atas nasionalisme sekular.

Kini Amerika dan Israel memihak kepada PLO dan diberi bantuan supaya menekan Hamas pula. Ini kerana mereka melihat Hamas sudah menjadi ancaman kepada Israel. Itupun kalaulah benar. Dunia sukar untuk mengetahui apa yang sebenar kedudukan organisasi ini. Tetapi Amerika dan Israel mempunyai rangkaian perisikan yang lebih canggih daripada pihak lain dan mampu membuat penilaian lebih tepat.

Namun daripada pemerhatian dunia, apa yang dilakukan oleh Israel dan Amerika adalah untuk memastikan PLO khususnya organisasi utamanya iaitu Fatah akan sentiasa berseteru dengan Hamas. Maka akhirnya kedua- duanya lemah.

Maka daripada pemerhatian ini, keadaan kedudukannya ialah Israel merupakan pihak yang sebenarnya fasis. Demokrasi yang diamalkan oleh Zionisme ini hanya untuk bangsa mereka saja. Tetapi demokrasi mereka telah cacat dengan sikap perkauman yang tebal dengan melayan rakyat Palestin sebagai bukan manusia. Mereka percaya kepada keagungan bangsa sendiri iaitu Yahudi. Jadi, apa bezanya mereka dengan Nazi Jerman? Ketika mana mereka menuduh gerakan Islam sebagai Islamofasis, tetapi apa yang berlaku ialah bahawa negara Israel mempunyai fahaman dan amalan yang boleh diistilahkan sebagai Zionofasis. Kata dulang paku serpih.

Ketika Zionis menuduh umat Islam mahu menguasai dunia dan menubuhkan daulah Islamiah yang mengamalkan syariah, tetapi apa yang berlaku ialah mereka iaitu orang Yahudi yang bukan saja mahu menguasai dunia tetapi sebenarnya telah pun menguasai dunia. Mereka menguasai dunia ketenteraan, akademik, korporat, budaya, teknologi dan kewangan sejagat dengan teras wilayah penguasaannya ialah Amerika dan Eropah.

Sistem kewangan yang dipakai dunia hari ini berasal daripada Yahudi hingga hari ini mengancam manusia dengan sistem berasaskan riba. Sistem ini telah mengkayakan golongan mereka dan memiskinkan jutaan manusia yang lain. Bukan orang Islam yang merosakkan dunia, tetapi orang Yahudi. Dengan kecerdekan mereka, orang Yahudi juga memikul tanggungjawab memberikan kesejahtreraan kepada manusia. Tetapi apa yang mereka lakukan ialah merosakkan dunia, dalam semua segi termasuk alam sekitar.

Bagi umat Islam, Hamas dan Hizbullah bukannya gerakan yang perlu ditakuti. Syariah yang mahu diamalkan adalah suatu perkara yang sudah menjadi amalan seharian mereka. Sementara sistem Syariah masih jauh daripada mereka kerana apa yang mereka perlukan saat ini adalah kehidupan seharian iaitu makan, minum, pekerjaan dan pendidikan.

Kalaupun Syariah yang hendak diamalkan, sudah tentu ia mula berlegar pada soal-soal perkahwinan dan akhirnya kepada kewangan islam. Sistem kewangan Islam merupakan amalan Syariah yang semula jadi bagi orang Islam dan memberi manfaat kepada orang bukan Islam.

Maka kebangkitan Hamas serta dibantu Hizbullah adalah suatu yang wajar kerana kedua-duanya adalah sesama Islam. Namun begitu, apabila diteliti berita mengenai pelancaran roket oleh Hizbullah ke atas Israel, maka dapat dilihat ia berpunca daripada laporan oleh agensi berita Amerika iaitu AP, Associated Press.

Walaupun ia merupakan agensi berita profesional; tetapi dapat difahami bahawa ia tentunya memihak kepada Israel. Maka apabila diteliti di mana sumbernya, maka dapat diketahui bahawa laporan AP itu tidak menyebut di mana ia dapat berita itu. Apa yang dilaporkan adalah seolah-olahnya disaksikan sendiri oleh pemberita itu tetapi tidak pula dinyatakan demikian.

Laporan itu kemudian memetik media Israel yang mendakwa pejuang Palestin yang melancarkan roket dari Lebanon ke atas Israel. Tetapi adakah media Israel itu boleh dipercayai kerana mereka sudah tentunya mahu membantu tentera mereka. Persoalan juga timbul dari mana mereka memperoleh maklumat. tentunya daripada sumber tentera mereka yang juga mempunyai kepentingan.

Sementara kerajaan Lebanon pula, yang turut dianggotai oleh Hizbullah sedang menyiasat siapakah yang melancarkan roket itu. Dalam laporan lain pula dinyatakan bahawa Hizbullah, Hamas dan Fatah menafikan telah melancarkan roket. Malah Hizbullah menegaskan bahawa ia tidak mahu diperangkap oleh Israel dengan turut menyertai dalam peperangan itu.

Apa yang berlaku sebenar tidak akan dapat diketahui kerana Israel menguasai semua laporan daripada Gaza. Malah laporan mengenai serangan roket baik yang dikatakan dari Hamas mahupun Hizbullah boleh jadi dibuat oleh Israel sendiri bagi membolehkan mereka terus menyerang dan membunuh rakyat Palestin.

Bukan saja Israel menguasai maklumat di Gaza, tetapi di seluruh dunia. Para wartawan Barat hanya dibenarkan sampai di sempadan Gaza dan Israel. Bagaimanakah wartawan hendak mengetahui keadaan sebenar? Tentunya laporan mereka juga ditapis oleh pihak tentera Israel.

Namun begitu, ada wartawan yang masuk melalui Rafah di sempadan antara Mesir dan Gaza, itupun amat terhad. Sementara itu terdapat wartawan yang sudah bearda dalam Gaza, termasuk Al-Jazeera. Namun begitu, pergerakan mereka amat terhad dengan kekurangan bekalan peralatan dan ancaman dari Israel.


Dengan kesukaran wartawan untuk membuat liputan Gaza, maklumat yang dapat dikeluarkan pula akan ditapis di ibu pejabat agensi berita masing-masing. Sudah tentu laporan AP dan Reuters akan disunting di Amerika dan Britain yang kecenderungannya adalah kepada Israel. Agensi berita Perancis AFP mungkin lebih bebas sedikit tetapi ia tetap berada dalam jalur pemikiran Eropah yang juga cenderung kepada Israel. Begitu juga dengan stesen-stesen televisyen seperti CNN dan BBC.
Maka yang tinggal ialah Al-Jazeera milik kerajaan Qatar. Namun begitu pergerakan mereka juga terhad. Selain itu, politik negara-negara Arab di Asia Barat juga perlu diambil kira. Negara-negara Teluk termasuk Arab Saudi dan juga Mesir serta Jordan merupakan sekutu Amerika. Sedangkan Mesir dan Jordan mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Sukarnya rakyat Palestin di Gaza untuk menyelamatkan nyawa dan zuriat mereka.

Maka dunia termasuk Malaysia hanya dapat maklumat daripada apa yang disampaikan melalui aganesi-agensi berita. Palsu atau benar, seleweng atau berusaha untuk tepat adalah kesemuanya tidak ada kepastian. Suatu masa nanti akan terbit buku-buku yang ditulis oleh saksi mata mengenai peperangan di Gaza itu.

Para ahli akademik akan membuat penyelidikan melalui sumber pertama akan mengumpul maklumat yang akhirnya boleh memberi gambaran kejadian sebenar di Gaza. Tidak kurang pula wartawan yang terlibat menyampaikan maklumat termasuk penyunting mereka di ibu pejabat akan menceritakan tekanan-tekanan yang mereka terima daripada pelbagai pihak termasuk pemilik yang dipengaruhi oleh lobi Yahudi.

Dalam mana-mana peperangan, mangsa pertama adalah kebenaran. Atas cebisan maklumat yang diterima oleh dunia inipun dapat dirasakan betapa perit dan sengsaranya rakyat Palestin di Gaza menjadi mangsa Israel.

Buat masa ini perang panjang oleh Israel yang dilancarkan terhadap rakyat Palestin sejak tahun 40-an dahulu memihak padanya. Keupayaan mereka untuk menang bermula daripada penguasaan mereka terhadap media antarabangsa. Untuk melawan balik, umat Islam mesti menang dalam medan media.

Jentera Propaganda Zionis-Israel


Oleh: Muhammad Alias (Bekas Konsulat Malaysia)
Dari : Utusan Malaysia 24/1/2009


Dalam sejarah konflik Palestin sejak lebih 60 tahun lalu negara-negara Arab sering melepas peluang untuk merealisasikan pembentukan sebuah negara untuk rakyat Palestin. Kesilapan demi kesilapan dilakukan bermula dengan perang Arab-Israel pertama tahun 1948.

Pengajaran daripada beberapa peperangan Arab-Israel itu ialah jumlah ramainya penduduk sahaja tidak memadai. Apa yang penting ialah strategi, persediaan, latihan, persenjataan, moral dan jentera propaganda. Sayangnya hingga ke hari ini jentera propaganda merupakan kelemahan negara-negara Arab yang paling ketara.

Perkara ini terjadi di kala negara-negara Arab menguasai pengeluaran minyak mentah dunia. Malahan pelaburan Arab melimpah ruah ke negara-negara Barat khususnya sebelum tragedi 11 September 2001. Beberapa buah negara Eropah boleh dikatakan hidup kerana duit Arab.

Meskipun begitu mereka tidak berjaya mempengaruhi dan mendapatkan simpati negara-negara Barat dalam konflik Palestin. Meskipun lebih 1,300 orang menjadi korban dalam serangan Israel ke atas Genting Gaza baru-baru ini.

Namun keadaan amat berbeza dengan Israel. Negara-negara Eropah dan AS amat menyayangi Israel. Mereka sanggup menyokong Israel meskipun rejim Zionis itu sering kali berlaku zalim. Puncanya ialah jentera propagandanya yang efisien.

Kempen-kempen propaganda Israel berkembang ekoran daripada kewujudan fahaman Zionis lebih seratus tahun lalu. Perisytiharan Balfour tahun 1917 dan penubuhan negara Israel merupakan kemuncak kepada kejayaan Zionis.

Melalui propaganda yang berterusan, Zionis berjaya menguasai pengembang-pengembang agama Kristian berhaluan kanan, ahli-ahli politik, media massa dan paling penting industri perfileman Hollywood.

Sejak kewujudan Israel hampir-hampir seratus buah filem Hollywood yang bertemakan bangsa Yahudi khususnya mengenai kekejaman Nazi di samping mempertahan dan menghalalkan pembentukan negara Israel tahun 1948.

Hari ini kritikan terhadap Israel dicap sebagai 'anti-Semites.' Di beberapa negara Eropah perbuatan mempersoalkan kewujudan holocaust boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Pengaruh Israel dalam dasar luar AS jelas dinyatakan oleh John Mearsheimer dan Stephen Walt dalam buku bertajuk The Israel Lobby and U.S. Foreign Policy (Lobi Israel dan Dasar Luar Amerika) terbitan tahun 2006.

Nadi propaganda zionis berpusat di Simon Wiesenthal Center atau SWC di Los Angeles. SWC menjalankan pelbagai aktiviti bertujuan mempertahankan keselamatan bangsa Yahudi di seluruh dunia, khususnya Israel dan menentang anti-semitisme.

SWC juga terdapat di New York, Miami, Paris, Toronto, Buenos Aires and Jerusalem. SWC mendapat taraf sebagai badan bukan kerajaan (NGO) di pertubuhan-pertubuhan antarabangsa termasuk PBB, UNESCO dan Majlis Eropah (Council of Europe).

Muzium Toleransi (Museum of Tolerance) juga memainkan peranan yang sama penting dengan SWC. Objektif utama ialah mendidik dan menyebarkan tragedi yang menimpa bangsa Yahudi di Eropah dalam Perang Dunia Kedua.

Muzium ini menyediakan bacam-macam program untuk pelbagai lapisan masyarakat khususnya para pelajar dari sekolah rendah hingga ke universiti, ahli-ahli akademik, guru-guru, penguatkuasa undang-undang dan pekerja-pekerja sosial.

Sebaliknya sejak 60 tahun lalu hampir-hampir tidak ada filem-filem tentang holocaust rakyat Palestin. Sepanjang penulis ketahui tidak ada satu pun pusat dan muzium tentang tragedi rakyat Palestin seperti mana Simon Wiesenthal Center dan Museum of Tolerance.

Kenapa agaknya perkara seumpama ini tidak terlintas di fikiran pemimpin-pemimpin Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Pusat ini sepatutnya dibina di AS, Eropah, Timur Tengah dan beberapa buah negara di Afrika dan Asia.

Mesir mempunyai industri perfileman yang bermutu tinggi dan dirasa mampu mengeluarkan filem-filem yang baik dengan pelaburan dari negara-negara Arab/OIC. Kesan filem-filem ini dikira dapat mempengaruhi pemikiran dunia tentang masalah yang dihadapi oleh rakyat Palestin.
Bagaimana pula dengan penubuhan sebuah badan agensi berita dan stesen televisyen OIC. Isu propaganda ini patut dipandang serius oleh OIC. Adalah lebih baik OIC membincangkan isu-isu yang mudah dipraktikkan daripada isu-isu besar dan penuh dengan retorik sedangkan sukar sekali dilaksanakan.

Sepatutnya jentera propaganda Liga Arab dan OIC memanipulasikan pembunuhan kejam terhadap penduduk Gaza baru-baru ini. Bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya lebih 1,300 orang yang terkorban itu merupakan rakyat Israel.

Sebaliknya pemimpin-pemimpin Arab terus menerus bercakaran sesama sendiri. Sidang Kemuncak Ekonomi Arab di Kuwait menambah tebal lagi permusuhan sesama mereka sedangkan Gaza telah hampir musnah, termasuk lebih 20 buah masjid ranap dibedil Israel.

Di zaman Perang Dingin, Republik Rakyat China (PRC), India, Soviet Union, sebahagian besar negara-negara blok komunis dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Kini hampir-hampir semua menjadi rakan Israel. Nampaknya nasib rakyat Palestin semakin gelap.

Keazaman Zionis Tubuhkan Negara Israel

Oleh : Mustafa Kamal Basri
Utusan Malaysia 26/1/2009

Konflik di bumi Palestin berlaku disebabkan oleh ideologi Zionisme yang dianuti oleh bangsa Yahudi. Ideologi itu diasaskan oleh Theodor Herzl, seorang Yahudi dari Austria, yang memperjuangkan penubuhan sebuah negara kekal bagi bangsanya di Palestin.

Herzl menekankan perkara ini dalam buku bertajuk Der Judenstaat (The Jewish State) pada 1896, kerana sedar bangsa Yahudi tidak pernah mempunyai negara sendiri.

Keaadan itu berkait rapat dengan sifat bangsa itu sendiri yang sering disingkirkan, berpindah-randah atau dihalau atas kesombongan mereka sendiri, termasuk ingkar ajaran Allah dan juga membunuh nabi-nabi di kalangan mereka.

Ke mana sahaja mereka pergi, bangsa Yahudi sentiasa menjadi kebencian masyarakat dan sering ditindas serta dibunuh.

Peristiwa pembunuhan yang paling popular melibatkan bangsa itu ialah pembunuhan beribu-ribu Yahudi oleh Czar Rusia pada 1881 dan Holocaust oleh Nazi Jerman.

Bangsa Yahudi percaya mereka berasal dari kerajaan Judah (Judae), sebuah pusat kenabian terdiri daripada nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan Bani Israel yang diturunkan untuk berdakwah.
Bangsa Yahudi mula menjadi bangsa pelarian dan merempat sejak Babylon menawan kerajaan Judah pada 641 Sebelum Masehi yang ketika itu menguasai Baitulmaqdis.

Sejak itu, bangsa Yahudi meratapi nasib mereka terpaksa meninggalkan Bukit Zion dan berazam untuk kembali semula ke tanah air mereka itu. Sempena nama Bukit Zion itulah pergerakan Zionisme ditubuhkan.

Tanah Palestin kemudian jatuh pula kepada Parsi setelah ia menawan Babylon dan kemudian beralih kepada Rom setelah empayar itu menawan Baitulmaqdis sebelum dikuasai oleh kerajaan Mamaluk dan Othmaniah.

Di Eropah, Yahudi muncul sebagai bangsa yang berjaya sehingga wujud perasaan cemburu dan benci di kalangan bangsa asal dan fenomena ini dipanggil sebagai antisemitik.

Kempen antisemitik di Eropah dan Rusia mendorong dua juta penduduk Yahudi berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) sekitar 1880 sehingga 1928 sementara sebahagian kecil lagi berhijrah ke Palestin kerana faktor agama.

Pergerakan Zionisme kemudian berjaya menyebarkan fahaman itu di kalangan dua juta bangsa Yahudi di AS dan memesongkan penganut Kristian mengenai kedatangan Nabi Isa s.a bagi menarik sokongan terhadap konsep itu.

Zionisme mula mendapat sokongan kerajaan AS semasa pentadbiran Presiden John Adams. Sementara itu, Presiden Harry S. Truman pula adalah presiden yang bertanggungjawab mengiktiraf penubuhan negara Israel.

Ideologi Zionisme merupakan satu ajaran sesat yang memesongkan ajaran kitab Taurat berhubung "bumi yang dijanjikan Tuhan" untuk bangsa Yahudi dan "kepulangan bangsa Yahudi ke bumi asal mereka di Baitulmaqdis atau Al-Quds (Kota Suci)".

Herzl yang juga seorang peguam dan wartawan di Perancis telah memberi manifestasi baru kepada ajaran Taurat berhubung "kepulangan bangsa Yahudi ke bumi asal mereka". Beliau mengambil sebahagian daripada saranan dalam kitab itu dan mengetepikan sebahagian lagi ayat berhubung "sehingga datang perintah dari Tuhan".

Herzl berpendapat bangsa Yahudi tidak perlu menunggu perintah Tuhan, sebaliknya bangsa itu yang menentukan bila dan bagaimana mereka harus pulang.

Herzl bekerja keras bagi menjayakan cita-citanya itu. Beliau kemudian mengumpulkan wakil daripada semua pertubuhan kecil Yahudi di seluruh dunia untuk menghadiri Kongres Pertama Yahudi di Basel, Switzerland pada 27 hingga 29 Ogos 1897 bagi membincangkan idea itu.

Kongres itu melahirkan 'Program Basel' mengenai penubuhan negara kekal bagi bangsa Yahudi. Dan lahirlah juga Pertubuhan Yahudi Sedunia (PYS) bagi menggerakkan usaha penubuhan negara Yahudi kekal di Palestin.

Herzl dipilih sebagai Presiden pertama PYS dan terus menerajui pertubuhan itu sehinggalah mati pada 1904.

Atas idea dan kegigihan beliau itu, Herzl telah digelar sebagai bapa politik moden Zionisme oleh bangsa Yahudi.

Herzl bijak mengatur langkah bagi mencapai impiannya itu serta menonjolkan dirinya sebagai pemimpin.

Beliau mampu mempengaruhi pemimpin dunia agar bersimpati terhadap bangsa Yahudi. Herzl berjaya membuatkan pemimpin-pemimpin Kristian di Eropah berasa bersalah kerana tindakan kerajaan mengusir, menindas dan membunuh orang Yahudi.

Melalui kempen dan strategi yang tersusun, Herzl berjaya menyatukan sebahagian besar bangsa Yahudi dengan memesongkan akidah mereka sehingga menganggap perjuangan dan tindakan bagi menubuhkan negara Yahudi itu sebagai satu jihad.

Herzl juga mendekati dan mempengaruhi pemimpin dunia, terutama Kristian di Eropah dan AS. Yahudi juga bangkit menguasai sistem ekonomi, politik serta budaya termasuk industri maklumat, hiburan dan keilmuan. Dalam masa yang sama, mereka menyerapkan ideologi Zionisme.
PYS akhirnya berjaya mempengaruhi kerajaan Britain berhubung penubuhan negara Yahudi di Palestin, apabila London mengeluarkan Perisytiharan Balfour pada 2 November 1917 yang mengiktiraf penubuhan negara kekal Yahudi.

Pada mulanya, Britain memperkenalkan 'Projek Uganda' bagi menawarkan Uganda di Afrika kepada PYS. Argentina dan Kashmir, India juga pernah dicadangkan sebagai negara Yahudi.
PYS menolak tawaran itu dan berkeras mahukan Palestin.

Akhirnya Britain bersetuju dan mengemukakan cadangan itu kepada Liga Bangsa-Bangsa dan kepada kerajaan Othmaniah di Turki, yang ketika itu memerintah Palestin.

Pada Jun 1986, Herzl sendiri menghadap Sultan Abdul Hamid II, pemimpin Othmaniah bagi memohon tanah di Palestin.

Sultan itu menolak mentah-mentah idea Herzl.
"Jika satu hari negara Islam (kerajaan Othmaniah) runtuh, maka pada masa itu barulah kamu boleh mengambil Palestin tetapi selagi beta hidup, beta lebih rela tubuh dikerat daripada menyerahkan Palestin untuk Yahudi."

Herzl tidak putus asa dan terus mendekati pemimpin Britain, Perancis dan AS untuk membantu menjayakan cita-citanya.

Pada waktu itu, pergerakan Zionisme telah berjaya meresap ke dalam sistem politik, pentadbiran, ekonomi dan keilmuan di AS.

Di Britain, konco-konco Herzl termasuk Chaim Weizmann dan Nahum Sokolow, pemimpin utama Zionis di London berjaya mendampingi dan mempengaruhi Setiausaha Luar Britain pada waktu itu, Arthur James Balfour, sehingga lahirlah Perisytiharan Balfour 1917 itu.

Weizmann menjadi Presiden pertama negara Israel apabila ia ditubuhkan pada 14 Mei 1948.
Pada 1936, Suruhanjaya Peel mencadangkan supaya Wilayah Mandat Palestin yang ditadbir oleh Britain dibahagi kepada dua negara, Yahudi dan Arab, tetapi ditolak oleh Palestin sehingga berlakunya pemberontakan Arab 1936-1939.

Liga Bangsa-Bangsa yang ditubuhkan pada 28 Jun 1919 selepas tamat Perang Dunia Pertama kemudian memanjangkan cadangan Suruhanjaya Peel itu mengenai pembahagian dua negara di wilayah Palestin.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) ditubuhkan pada 24 Oktober 1945 bagi menggantikan Liga Bangsa-Bangsa pada September 1947 telah menubuhkan Jawatankuasa Khas PBB mengenai Palestin (UNSCOP) yang mengemukakan pelan pembahagian wilayah Palestin kepada dua negara.
Pelan UNSCOP itu kemudian disahkan oleh Perhimpunan Agung PBB pada 29 November 1947 dengan bandar Baitulmaqdis diletak di bawah pentadbiran langsung PBB.

Pelan itu ditolak oleh kerajaan Palestin dan negara-negara Arab kerana ia bercanggah dengan Piagam PBB sendiri.

Apabila Britain berundur dari Palestin pada 14 Mei 1948, ketua PYS, David Ben-Gurion mengisytiharkan pembentukan negara Israel selaras dengan Resolusi PBB 1947, yang mencadangkan pembahagian Palestin kepada dua negara.

David Ben-Gurion kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri pertama Israel.
Sebelas minit selepas pembentukan negara Israel, Presiden AS ketika itu, Harry S. Truman mengiktiraf negara baru itu diikuti oleh Perdana Menteri Kesatuan Soviet, Joseph Stalin sejam kemudian.

Pada 15 Mei, 1948, sehari selepas pembentukan negara Israel, penduduk Palestin pula mengisytiharkan tarikh tersebut sebagai Hari Hitam (Yawm al-Nakba), apabila ribuan penduduk Palestin dibunuh oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Akhirnya, setelah 51 tahun berjuang, matlamat pergerakan Zionisme untuk menubuhkan negara Yahudi di Palestin mencapai kejayaan pada 14 Mei 1948.

Sejak itu bermula konflik di Palestin di era moden dan penganiayaan, penindasan dan pembunuhan bangsa Palestin oleh rejim Zionis Israel sehingga ke hari ini.

Yahudi : Bangsa Cerdik Tapi di Benci Seluruh Dunia

Dari Kolum Untung Sabut Timbul, Utusan Malaysia 6/6/2010

PADA tahun 2004 ketika menyaksikan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang memberikan kemenangan George W. Bush, penulis ditanya oleh seorang Yahudi yang duduk sebelah dalam satu jamuan makan malam.

Dia bertanya mengapakah orang Malaysia yang berada jauh dari Palestin dan tidak pernah bermusuh dengan Yahudi tetapi amat benci pada Israel.

Penulis jawab bahawa rakyat Palestin telah dirampas tanah mereka dan dinafikan hak mereka sebagai negara berdaulat dan merdeka.

Dia berhujah kembali bahawa apa kena mengena rakyat Palestin dengan Malaysia yang duduk jauh dan tidak menjejaskan kehidupan dan keamanan rakyat negara ini.

Penulis berhujah kembali bahawa walaupun Palestin itu jauh dari segi geografi tetapi dekat di hati rakyat Malaysia. Jauh dan dekat sesuatu bangsa dengan bangsa yang lain bukannya kerana kedudukan geografi tetapi kerana ikatan emosi yang lain.

Ikatan antara rakyat Palestin dengan Malaysia bukan hanya soal agama. Palestin sudah dianggap bangsa saudara kepada Malaysia, tidak kira anutan agama.

Selain daripada agama, lebih penting lagi ialah Palestin telah menjadi bangsa tertindas dan teraniaya. Rakyat Malaysia dalam semangat kemanusiaan tentunya menyebelahi Palestin.
Orang Amerika itu kemudian mengheret penulis untuk berdebat mengenai isu Palestin yang dikaitkan dengan perkauman anti-Yahudi.

Sebagai orang Melayu tentunya penulis menyebelahi Palestin. Tetapi sebagai peminat intelektual Barat, penulis menyatakan kekaguman terhadap orang Yahudi yang dapat menghasilkan banyak karya pemikiran hebat hingga mencorak tamadun dunia sejak dari dahulu lagi.

Tentunya berbeza dunia hari ini tanpa pemikiran-pemikiran Karl Marx, Sigmund Freud, Albert Einstein dan banyak lagi tokoh pelbagai bidang akademik, kesusasteraan sains dan malah perfileman.
Antara tokoh Yahudi yang penulis kagumi ialah Noam Chomsky, seorang ahli linguistik. Tetapi pemikiran politiknya yang menolak Zionisme, Israel dan Amerika Syarikat menunjukkan bahawa perjuangan pembebasan Palestin adalah fahaman kemanusiaan, dan tidak berkaitan mengenai bangsa dan agama semata-mata.

Bangsa Yahudi walaupun bilangannya kecil tetapi berpengaruh besar dalam sejarah dunia. Mereka memberi sumbangan intelektual bukan saja kepada tamadun Barat tetapi juga Islam.
Tetapi selepas Perang Dunia Kedua, Yahudi muncul sebagai bangsa yang merampas dan menindas bangsa Palestin di atas fahaman Zionisme.

Bagi orang Melayu sejak dari dahulu, Baitulmakdis yang tidak ramai menjejakinya adalah hampir dalam jiwa bangsa. Seperti Mekah dan Madinah, Baitulmakdis juga dianggap bukan saja kota suci tetapi sebahagian daripada jiwa bangsa. Di rumah-rumah orang Melayu, antara gambar masjid yang sering digantung di dinding ialah Kubah Al-Sakhrah di Masjid Al-Aqsa.

Dalam hal ini, penulis teringat kepada seorang warga Palestin yang berhijrah ke sini dan berkahwin dengan rakyat Malaysia. Beliau menghadiahkan dua gambar Masjid Al-Aqsa yang besar dan cantik untuk digantung di dinding rumah penulis dan bapa penulis.

Generasi demi generasi orang Melayu akan diajar mengenai isu Palestin hinggakan mereka seolah-olah saudara sebangsa. Tidak hairanlah mengapa ada seorang bapa saudara penulis yang bernama Yasir. Mungkin datuk penulis menamakannya sempena Yasser Arafat.

Tetapi adiknya, Jamaluddin Elias yang merasa menjadi mangsa tahanan Israel apabila berlaku serangan ke atas kapal Mavi Marmara minggu lalu. Maka akhirnya kekejaman negara Zionis itu sampai juga kepada sanak saudara sendiri.

Beliau yang dijangka pulang pagi ini adalah rakan sepermainan penulis semasa kecil di kampung tetapi tidak selalu dapat bertemu dan berbicara dengannya.

Ternyata beliau berpengalaman luas dalam kerja-kerja bantuan kemanusiaan khususnya semasa tsunami Aceh dan gempa bumi yang berlaku ekoran daripadanya.

Dua minggu lalu, agak terkejut apabila menerima sms daripadanya bahawa beliau dipilih menyertai konvoi bantuan ke Gaza bagi mewakili Yayasan Amal Malaysia di mana beliau ialah Timbalan Pengerusinya. Apa yang boleh dilakukan hanyalah memanjatkan doa agar beliau selamat sambil memikirkan mengenai isterinya dan sepuluh orang anak-anaknya.

Hati hanya lega apabila kemudiannya diberitahu bahawa mereka telah sampai ke Jordan.
Di Jordan, penulis dapat menghubunginya melalui telefon dan beliau menceritakan pengalamannya di atas kapal Mavi Marmara ketika diserbu komando Israel. Betapa tiba-tiba angin kencang yang menolak ke tepi gas komando Israel yang dilemparkan ke atas dek kapal.

Jamaluddin juga menceritakan bagaimana wang RM50,000 untuk digunakan di Gaza yang diletakkan di tempat barang hilang apabila Mavi Marmara ditawan oleh komando Israel itu.
Pastinya apabila dia balik nanti, akan diceritakan kisahnya kepada rakyat Malaysia. Bukan dia saja tetapi juga semua rakyat Malaysia yang mengalami peristiwa mencemaskan di Laut Mediterranean itu.
Maka dapat dibayangkan juga banyak mereka yang terlibat dengan misi flotila itu kembali ke negara masing-masing dan menceritakan pengalaman mereka mengenai keganasan Israel. Bukan saja dari kalangan orang Islam tetapi bukan Islam.

Kalau dilihat taktik rejim Tel Aviv, mereka cenderong menjadikan Palestin sebagai isu agama. Perjuangan pembebasan Palestin digambarkan sebagai keganasan yang dikaitkan dengan agama.
Tetapi misi flotila bantuan untuk Gaza ini menyaksikan penglibatan rakyat dari banyak negara bukan Islam. Palestin telah menjadi bangsa semua manusia.
Dalam hal ini, Yahudi sebagai bangsa cerdik sepatutnya sedar bahawa Zionisme dan Israel tiada tempat dalam kamus kemanusiaan.