www.majalahsains.com
Showing posts with label Johan Jaafar. Show all posts
Showing posts with label Johan Jaafar. Show all posts

Sunday, February 15, 2009

Bagaimana watak 'Superman' menakluki dunia

Di Luar Lingkaran:
Oleh Johan Jaaffar
zulujj@time.net.my
BM:15/02/2009

Muslihat Yahudi gunakan budaya popular secara berkesan

DALAM akhbar ini minggu lalu, seorang penyanyi terkenal Faizal Tahir membuat kenyataan bahawa beliau tidak menyedari asal watak Superman. Faizal menggunakan imej itu sebagai sebahagian daripada gimik persembahannya. Superman sebenarnya merupakan ciptaan dua orang anak muda Yahudi pada tahun 30-an, Jerry Siegel dan Joseph Schuster. Siegel dilahirkan di Cleveland, Amerika Syarikat (AS) sementara Schuster di Kanada pada tahun 1914. Mereka menjadi kawan sekolah di Glenville High School (AS). Di sanalah mereka mula menghasilkan karya bersama: Siegel menulis dialog sementara Shuster melukis. Pada tahun 1934, Siegel mendapat ilham untuk memulakan cerita seorang bayi dari planet yang lain yang dihantar ke bumi. Bayi itu menjadi Clark Kent, yang bekerja dengan syarikat akhbar Daily Planet. Tetapi Kent bukan sebarangan manusia. Beliau sebenarnya mempunyai kuasa luar biasa.

Komik sebenarnya baru lahir di AS pada masa itu. Menurut buku Jews and American Comics: An illustrated History of an American Art Form, komik tercipta pada tahun 1933 oleh Charlie Ginsburg, seorang guru separuh masa. Komik dan kemudiannya novel grafik menjadi wahana penting dalam mengartikulasikan sikap dan pendirian seniman Yahudi di AS. Memang bukan rahsia, selain Superman, watak komik terkemuka seperti Batman, X-Men dan Spiderman juga dihasilkan oleh artis-artis Yahudi. Tetapi tidak ada watak lain yang begitu besar kesannya berbanding Superman.

Anehnya cadangan komik Superman ditolak oleh banyak penerbit masa itu. Akhirnya penerbit Detective Comics (DC) bersetuju membayar $130 ((RM455 sekarang) sebagai royalti. Apabila kali pertama muncul pada bulan Jun 1934, Superman menjadi komik yang begitu popular. Penerbitnya membuat keuntungan berjuta-juta dolar. Kedua-dua pelukis itu menyaman syarikat itu tetapi sia-sia kerana hakcipta komik telah diserahkan pada penerbit. Pada tahun 1978 syarikat filem Warner Communications membuat filem pertama Superman. Filem itu melonjakkan nama pelakon Christopher Reeve. Filem itu mengaut lebih RM962 juta. Hari ini berbilion ringgit telah dipungut dari beberapa buah filem Superman selain francais barangan. Siegel dan Shuster mati papa kedana.

Pada waktu Superman lahir, AS berada dalam zaman kemelesetan yang teruk. Jutaan manusia hilang pekerjaan. Pada masa yang sama sentimen anti-Yahudi begitu meluas di AS. Malah tahun-tahun 30-an itu dikatakan dekad anti-Semitism yang paling hebat dalam sejarah negara itu. Penyokong Nazi menggunakan gerakan German-American Bund untuk mendedahkan "perilaku" Yahudi. Beberapa orang tokoh terkemuka Kristian juga mengecam kaum Yahudi. Kaum Yahudi dihalang dari menyertai banyak persatuan, kelab malah dikurangkan kemasukan ke universiti-universiti ternama. Sentimen yang sama membara di Eropah terutamanya di Jerman. Adolph Hilter baru sahaja berkuasa. Hitler sedang melaksanakan dasar mengenal pasti kaum Yahudi dan menyalahkan mereka kerana penguasaan mereka dalam pelbagai bidang - khususnya ekonomi di Eropah. Pelaksanaan "penyelesaian terakhir" Hitler ialah dengan membunuh lebih enam juta Yahudi sewaktu Perang Dunia Kedua, peristiwa yang dikenal sebagai Holocaust.

Penanggungan kaum Yahudi inilah yang membetik hasrat Siegel dan Shuster untuk memberikan suntikan semangat secara halus. Superman digambarkan mempunyai dua personaliti, seorang pemberita yang lemah lembut dan pemalu dan yang satu lagi, manusia besi yang boleh menahan peluru dan terbang ke mana sahaja bagi menyelamatkan manusia di mayapada. Seperti kaum Yahudi yang berhijrah ke AS, Superman juga pendatang. Malah sewaktu Perang Dunia Kedua, Superman juga menjadi askar, sesuai dengan hasrat untuk menunjukkan kaum Yahudi AS juga sama patriotiknya dengan kaum-kaum lain.

Watak Superman yang diilhamkan oleh Siegel ini mengambil semangat dari cerita Nabi Musa yang dihanyutkan di Sungai Nil bagi menyelamatkan Baginda dari Firaun. Dalam komik asalnya bapa Kal-El (nama asal Superman) bernama Jor-El menghantar anak lelakinya ke dunia dengan misi tertentu. Kal-El ditemui oleh keluarga Jonathan dan Martha Kent di AS dan diberikan nama Clark. Perkataan "El" dalam Bahasa Hebrew itu ada kaitannya dengan nama Tuhan kaum Yahudi.

Kita tidak tahu apakah kaitan Yahudi pada Superman ini secara sengaja disedari oleh Siegel dan Shuster. Sudah pasti mereka sedar apa yang berlaku di Jerman dan prasangka terhadap kaum mereka di AS sendiri. Ironinya konsep "Superman" (manusia luar biasa) dimulakan oleh seorang ahli falsafah Jerman bernama Friedrich Wilhelm Nietzsche (1844 - 1900). Beliaulah yang memperkenalkan "Supermensch" dalam bahasa Jerman. Superman dalam bentuk komik itu mengetengahkan sifat-sifat keluarbiasaan yang bukan sahaja memancarkan kekuatan dan kehebatan tetapi juga kecerdikan, tetapi rendah diri dan jujur.

Apakah Superman seorang Yahudi? Ini isu yang sebenarnya telah banyak dibincangkan sebelum ini. Malah sejak tahun 1940 lagi, Menteri Propaganda Adolph Hitler yang berpengaruh bernama Josef Goebbels dalam akhbar Das Schwarze Korps, lidah rasmi Pertubuhan Nazi, mengisytiharkan Superman sebenarnya Yahudi. Beliau menyedari pengaruh komik itu ke atas masyarakat dunia. Bagi Goebbels Superman ialah "alter ego" Yahudi yang berbahaya.

Tahun ini genaplah 75 tahun lahirnya Superman. Orang tidak lagi sedar dari mana asalnya Superman. Watak ini menjadi ikon berbilion manusia di dunia, khususnya kanak-kanak. Superman ialah penyelamat manusia kerdil dan tertindas. Kita menerima wira Yahudi yang menjadi All-American Hero sebagai wira kita juga. Tidak ada salahnya menerima wira seperti ini kerana ia menjadi sebahagian dari budaya popular. Malah tidak ada salahnya memakai pakaian Superman atau seperti Faizal Tahir, menjadikan watak itu identiti persembahannya. Tetapi matlamat dan misi ciptaan seperti ini harus difahami dengan jelas.

Orang Yahudi tidak ramai di dunia ini, mungkin 14 juta orang sahaja. Tetapi mereka bangsa yang cerdik dan berpengaruh. Pengalaman kaum mereka di Jerman mengajar mereka makna survival. Seperti tulisan saya mengenai Sinema Holocaust dua minggu lalu, mereka menggunakan filem sebagai wadah penting mengingatkan rasa bersalah Jerman dan dunia pada mereka. Sentimen anti-Yahudi di AS menggerakkan mereka untuk mewujudkan gerakan lobi yang paling ditakuti di negara itu, Israel Public Affairs Committee (AIPAC).

Dalam rencana saya di dalam halaman ini pada 22 Jun 2003 ("Mencari Rahsia Kekuatan Yahudi") saya menyentuh tentang penguasaan kaum Yahudi dalam pelbagai bidang. Dalam dunia sastera mereka menggunakan kuasa pengkritik dan industri buku bagi "mengasingkan" orang lain. Pendedahan yang dibuat oleh Richard Kostelanetz dalam bukunya The End of Intelligent Writing: Literary Politics in America yang terbit pada tahun 1973 patut sangat dibaca.

Pada tahun 1973 juga, Paul Finley, bekas ahli Dewan Senat AS, menulis buku They Dare To Speak Out: People and Institutions Confronting Israel's Lobby yang mendedahkan bagaimana takutnya ahli politik AS dengan lobi Yahudi. Malah bukan rahsia lagi, sesiapapun yang ingin menjadi Presiden AS - termasuk Barack Obama - harus mendapat sokongan atau endorsement dari gerakan lobi Yahudi di AS.

Semua ini mungkin kerana kaum Yahudi menguasai media, budaya popular selain sistem perbankan dan gerakan NGO yang berpengaruh. Banyak orang memandang remeh pengaruh budaya popular terhadap pembentukan minda. Tetapi seperti apa yang berlaku pada watak komik Superman, pengaruhnya cukup besar dan berpanjangan.

Hari ini anak-anak Muslim mengutuk rejim Yahudi kerana menyerang Gaza. Mereka membawa sepanduk anti-Israel dan anti-Yahudi. Dada mereka membara dengan kemarahan. Pada waktu yang sama mereka memakai baju-T bertulis 'Superman' wira yang dicipta untuk membuktikan keperkasaan kaum Yahudi.

FAKTA

# Superman sebenarnya merupakan ciptaan dua orang anak muda Yahudi pada tahun 30-an, Jerry Siegel dan Joseph Schuster.

# Komik dan kemudiannya novel grafik menjadi wahana penting dalam mengartikulasikan sikap dan pendirian seniman Yahudi di AS.

# Selain Superman, watak komik terkemuka seperti Batman, X-Men dan Spiderman juga dihasilkan oleh artis-artis Yahudi.

# Komik Superman ditolak oleh banyak penerbit masa itu. Akhirnya penerbit Detective Comics (DC) bersetuju membayar AS$130 ((RM455 sekarang) sebagai royalti.

# Pada waktu Superman lahir, AS berada dalam zaman kemelesetan yang teruk dan sentimen anti-Yahudi begitu meluas di AS.

# Bapa Kal-El (nama asal Superman) bernama Jor-El menghantar anak lelakinya ke dunia dengan misi tertentu. Kal-El ditemui oleh keluarga Jonathan dan Martha Kent di AS dan diberikan nama Clark.

# Menteri Propaganda Adolph Hitler, Josef Goebbels mengisyitiharkan Superman sebenarnya Yahudi dan amat berbahaya.

# Kita menerima wira Yahudi yang menjadi All-American Hero sebagai wira kita juga.

# Anak-anak muda Muslim yang memprotes keganasan Israel di Gaza memakai baju T bertulis "Superman", wira yang dicipta untuk membuktikan keperkasaan kaum Yahudi.

Mencari rahsia ‘kekuatan‘ bangsa Yahudi


Oleh Johan Jaaffar, BM, 22/06/03

TIDAK banyak orang yang tahu bahawa "Superman" sebenarnya watak yang dicipta untuk menaikkan semangat bangsa Yahudi. Watak Superman "dihidupkan" oleh dua orang pelukis komik bernama Jerry Siegel dan Joseph Shuster. Ketika itu mereka memerlukan satu lambang yang kuat untuk melonjakkan morale bangsa Yahudi. Lalu mereka mencipta watak "Kal-El" yang bermakna "Tuhan" dalam bahasa Hebrew.

Watak itu kemudiannya menjadi Superman yang telahpun dijadikan bahan filem selain dijual sebagai buku cerita dan komik dan menjadi sumber bahan merchandise dalam bentuk baju, beg dan sebagainya.

Komik pertama Superman muncul pada bulan Jun 1938. Hari ini Superman dianggap hero semua kaum di dunia. Begitu kuat pengaruh Superman dalam meningkatkan darjat bangsa Yahudi, hinggalah kedua-dua pelukis itu telah dimasukkan sebagai salah seorang 100 orang Yahudi yang paling berpengaruh di dunia dalam senarai yang dibuat oleh Michael Shapiro. Malah dalam buku The Jewish Contribution to the 20th Century yang disusun oleh Alan Symons, nama kedua-dua pelukis ini juga dimuatkan.

Superman hanyalah salah satu daripada sekian banyak imej, lambang dan simbol yang sebenarnya memberi kekuatan, maruah dan digniti pada bangsa itu. Bangsa Yahudi sedar jumlah mereka tidak banyak, dan prasangka dunia terhadap mereka begitu kuat. Maka itu mereka harus mencari pendekatan lain untuk memungkinkan mereka dihormati dan dianggap penting.

Sumbangan bangsa Yahudi akan dapat dilihat dalam hampir semua bidang dan disiplin. Ahli arkeologi seperti Mark Stein; arkitek seperti Marcel Breuer, ahli antropologi seperti Ernest Gellner; ahli ekonomi seperti Alan Greenspan dan Milton Friedman; guru pengurusan seperti Peter Drucker serta tokoh linguistik seperti Noam Chomsky dan Leonard Bloomfiled berbangsa Yahudi.

Kita jangan lupa bidang penulisan mengetengahkan nama-nama seperti Isaac Asimov, Saul Bellow, Leon Uris, Franz Kafka dan Alberto Moravia; bidang psikonalisis yang memperkenalkan kita pada Sigmund Freud; dunia penerbitan yang menonjolkan Katherine Graham; dunia fizik dengan Otto Frisch; juga dalam bidang pengarahan filem dengan nama-nama seperti Steven Spielberg, Roman Polanski, Oliver Stone dan Woody Allen dan bidang lakonan yang memperkenalkan Paul Newman, Debra Winger, Dustin Hoffman dan Michael Douglas.

Sebutkan apa sahaja bidang dari dunia perbankan hingga penciptaan jeans yang dikenal sebagai Levis orang Yahudi ada di belakangnya. Sebab itulah penguasaan media, hiburan dan kewangan amat penting bagi mereka. Media menjadi tempat mengetengahkan agenda. Dunia hiburan akan mencorakkan nilai dan pengaruh sementara dunia kewangan dan perbankan akan memperkasa kedudukan ekonomi.

Bagaimanakah sebuah negara kecil yang bernama Israel yang penduduknya tidak lebih enam juta orang mempunyai pengaruh yang begitu besar ke atas dasar negara sehebat dan sebesar Amerika Syarikat (AS)? Kita semua tahu dasar luar AS terutamanya terhadap Asia Barat ditentukan oleh Israel dan bangsa Yahudi yang amat kecil bilangan mereka di AS.

Salah satu kekuatan Yahudi di AS ialah Kongres Yahudi Sedunia yang sejak sekian lama amat ditakuti oleh ahli-ahli politik arus perdana AS. Pengaruh mereka disokong oleh penguasaan media oleh kaum Yahudi. Boleh dikatakan semua akhbar utama dan stesen TV di AS hari ini di tangan pemilik Yahudi. Maka itu akhbar-akhbar ini memainkan peranan yang cukup besar dalam mencorakkan pendirian pro-Israel dan anti Arab di AS.

Israel yang dilindungi oleh AS juga membina kekuatan kerana pendekatan strategik mereka. Israel hanya berukuran 21,946 kilometer persegi di tengah lautan negara Arab. Dasar pertahanan dan ketenteraan Israel unik. Doktrin Israel ialah untuk berperang di tempat orang.
Kekuatan perisikan dan pasukan serangan balas menjadi kuncinya. "Pre-emptive strike" mendasari doktrin itu. Maka itu sebarang bentuk "serangan" ke atas Israel akan menyebabkan tindak balas yang pantas, tepat dan berkesan.

Israel mencatatkan pendapatan per kapita sebanyak AS15,979 atau kira-kira RM60,000. Hanya Qatar dan United Arab Emirates (UAE) yang mencatatkan pendapatan per kapita melebihi Israel (setiap satunya AS18,703 atau RM71,071 dan AS18,455 atau RM70,129). Kuwait mempunyai pendapatan per kapita RM53,534, Iraq RM4,500 dan Yemen hanya RM1,159. Dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar, hanya Saudi Arabia yang mengalahkan Israel dengan AS132,000 juta atau RM501,000 juta (KDNK Israel ialah AS95,400 juta atau RM 362,520 juta).

Di AS, orang Yahudi dalam pelbagai disiplin melanjutkan suara Israel. Media arus perdana AS mempunyai editor, kolumnis dan wartawan yang pro-Isreal. Pemimpin politik AS amat sedar kekuatan dan pengaruh lobi Yahudi. Kira-kira sedekad dulu, Paul Findley menulis buku yang amat memeranjatkan. Buku itu berjudul They Dare to Speak Out: People and Institutions Confronting Israel's Lobby. Buku itu memberikan contoh bagaimana berpengaruhnya lobi Yahudi di AS hingga banyak ahli politik AS yang menjadi mangsa sekiranya mereka dilihat atau ditafsir menyuarakan pendirian yang anti Yahudi atau Israel. Findley patut tahu. Beliau juga bekas ahli politik.

Hillary Clinton, isteri bekas Presiden AS, baru sahaja menghasilkan memoirnya Living History. Beliau banyak bercakap tentang keamanan, hak asasi dan keadilan. Tetapi apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan pendirian tegas mengenai keganasan Israel ke atas kaum Palestin tahun lalu, beliau terpaksa hadir bersama banyak "penyokong Israel" bagi mempertahankan tindakan negara itu. Hillary mewakili kota New York, satu-satunya kota di dunia yang mengisytiharkan cuti pada hari cuti Yahudi. Hillary tidak boleh bertahan tanpa sokongan kaum Yahudi yang begitu berpengaruh di New York.

Pada 1973, telah muncul sebuah buku berjudul The End of Intelligent Writing: Literary Politics in America oleh Richard Kostelanetz. Buku ini mengetengahkan bagaimana penguasaan hampir menyeluruh penulis, pengkritik dan penerbit Yahudi dalam dunia sastera di AS. Buku ini mengingatkan kita bahawa industri perbukuan AS, juga kegiatan sasteranya, sebenarnya dicorakkan oleh struktur kuasa dan amalan tidak adil yang memenangkan satu-satu kelompok di negara itu. Akibatnya yang lain "terpinggir."

Kum Yahudi yang menguasai industri hiburan di AS juga menggunakan "Holocaust" sebagai imej dan senjata yang kuat. Kita semua tahu Adolp Hitler telah melaksanakan dasar "penyelesaian terakhir" (final solution) untuk mengumpul, memenjara dan membunuh kaum Yahudi secara sistematik sewaktu Perang Dunia Kedua. Tidak ada siapa yang boleh mempertahankan tindakan Hitler itu. Tetapi Holocaust telah digunakan sebagai senjata yang berkesan bagi mengingatkan sesiapa sahaja bahawa sebarang kritikan, kecaman dan kutukan terhadap kaum Yahudi menunjukkan sikap "anti-Semitic", label yang menggerunkan sesiapa sahaja.

Steven Spielberg tidak dapat dinafikan ialah pengarah filem yang paling berbakat di Hollywood. Beliau membuat nama dengan Jaws, kemudian mengarahkan Close Encounters of the Third Kind, Riders of the Lost Ark, Jurassic Park dan banyak lagi. Filem-filem beliau telah membawa pulangan keuntungan berbilion ringgit. Tetapi Hollywood tidak pernah "menghargai" beliau. Sehinggalah pengarah berbangsa Yahudi ini mengarahkan Schindler's List pada tahun 1993. Beliau memenangi Anugerah Akademi sebagai Pengarah Terbaik kerana filem itu. Filem itu membawakan kisah kekejaman Nazi terhadap kaum Yahudi.

Tahun lalu, Adrian Brody memenangi Pelakon Filem Terbaik dan Roman Polanski menjadi Pengarah Terbaik kerana The Pianist, yang juga mengisahkan dilema seorang ahli muzik Yahudi semasa zaman Nazi. Cuba kita teliti berapa banyaklah filem yang memenangi Hadiah Akademi kerana menggunakan latar belakang Holocaust?

Pada waktu yang sama Holocaust digunakan sebagai penanda bagi mewajarkan apapun tindakan kaum Yahudi hari ini. Seperti yang dihujahkan oleh Norman G. Finkelstein dalam bukunya The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering, industri hiburan hanya memperkukuh keyakinan dunia bahawa kaum Yahudi pernah dianiaya dan mereka wajar bertindak untuk mengelak peristiwa itu berulang.

Menggunakan sejarah dan mengeksploit nasib malang mereka rupanya menjadi senjata untuk memperkuat bangsa dan identiti kaum Yahudi di mana-mana mereka berada di dunia ini.